SUARA KEADILAN
SHAH ALAM - Misi 40 ulama seluruh negeri Kelantan bermunajat di Mekah berhubung isu royalti minyak tidak sama seperti tindakan Kerajaan Pusat pimpinan Umno-Barisan Nasional yang mengambil dana rakyat untuk membayar RM77 juta kepada syarikat Zionis-Israel, Apco Worldwide.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Misi Munajat Royalti Rakyat Kelantan di Selangor dan Kuala Lumpur, Wan Mohd Johari Wan Omar berkata ulama muda Umno diseru supaya kembali kepada niat asal mereka menyertai parti itu iaitu untuk memperbaiki dan menjadi penegur kepada pemimpin dari dalam.
Wan Johari membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU ), Fathul Bari Mat Jahya di dalam sebuah portal berita yang disiarkan baru-baru berhubung komentarnya mengenai Misi Munajat Royalti Rakyat yang dicadangkan oleh seorang Exco kerajaan negeri Kelantan.
"Penghantaran 40 orang ulama ini, menggunakan duit derma dan sumbangan orang ramai. Tidak ada satu sen pun dari tabung dana kerajaan negeri, yang merupakan harta rakyat Kelantan."Kami melihat, tindakan ini tidak bercanggah dengan syariah, terutama tidak terdapat sebarang larangan nas syarak terhadap tindakan ini, tidak seperti mana larangan nyata mengenai nas pengharaman judi bola yang dilesenkan oleh Umno.
"Kami berharap ulama muda Umno ini kembali kepada niat asal mereka menyertai Umno seperti yang mereka war-warkan dahulu, iaitu mahu memperbaiki Umno dan mahu menjadi penegur parti itu dan bukannya memperlihatkan mereka seperti balaci Umno dalam usaha melawan tindakan yang tidak sealiran dengan parti yang berasas perkauman," kata Wan Johari dalam satu kenyataan Khamis lalu.
Sehubungan itu, Wan Johari mengumumkan jawatankuasa itu akan mengadakan satu majlis bagi meraikan rombongan misi 40 ulama itu yang akan bertolak ke Mekah pada 28 November depan.
No comments:
Post a Comment