SANDAKAN - Malang tidak berbau menimpa kali kedua ke atas calon Pakatan Rakyat dari Parti Keadilan Rakyat, Ansari Abdullah cedera ringan di bahagian kaki kanan apabila beliau terjatuh ke dalam air laut bila sambungan jambatan katu di sebuah rumah di Kampung Gas Hujung runtuh.
Kejadian tersebut menyebabkan Ansari serta empat anggota rombongan beliau yang mengikuti kempen Pakatan Rakyat ke kampung tersebut jatuh ke dalam air setinggi 10 kaki dari paras jambatan yang runtuh.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba di Sandakan pagi tadi dan mengikuti rombongan Ansari bagaimanapun terselamat daripada kejadian tersebut.
Antara yang menjadi mangsa kejadian jambatan katu runtuh itu termasuk dua petugas Unit Penerangan Selangor (Pkom), Jebat Norman dan Zahiruddin Nasir, Ketua Cabang Pandan Zakaria Abdul Rahim dan seorang penduduk tempatan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika Ansari, Abdul Khalid serta rombongan melawat kampung tersebut selepas selesai menunaikan solat Jaumaat di Masjid Karamunting, Pohing.
Jebat mengalami calar di bahagian belakang badan manakala Zakaria luka di tangannya.
"Saya sedang berada di depan calon mengambil gambar beliau dan tanpa saya sedari, saya dapati diri saya berada dalam air," jelas Jebat.
Kamera yang di bawa Jebat juga rosak akibat terendam di dalam air masin dalam kejadian tersebut.
Ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Duchess of Kent, Sandakan selepas menerima rawatan pesakit luar, Ansari berkata kejadian tersebut tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertemu rakyat dan berkhidmat kepada rakyat.
"Nampaknya apa sahaja saya sentuh akan runtuh, besok saya mahu ke pejabat Musa Aman, moga-moga BN pun runtuh," kata beliau bergurau.
Namun katanya lagi insiden malang ini hanya mencerminkan sekali lagi kegagalan Umno-Barisan Nasional membangunkan Batu Sapi khususnya dan Sabah secara keseluruhan.
Beliau juga sempat bersalaman dengan pesakit dan pelawat di hospital tersebut sebelum pulang untuk berehat.
Dua hari lepas, ketika berkempen dan menemui penduduk Pulau Api-Api, Ansari serta dua orang anggota rombongannya termasuk jurukamera ntv7 dan pembantunya terjatuh ke dalam laut apabla pelantar jeti pulau tersebut yang sudah reput runtuh. |
No comments:
Post a Comment