Saturday, October 30, 2010

Kertas undi lewat akibat masalah logistik

FREE MALAYSIA TODAY

pemilihan 2010PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mempertahankan masalah kelewatan penghantaran kertas undi di Cabang Tumpat dan Kota Bharu di Kelantan adalah berpunca daripada masalah logistik.

Setiausaha Pengelola Pemilihan PKR Radin Shamsul Kamar berkata kelewatan kertas undi itu membabitkan jawatan Timbalan dan Naib Ketua Wanita di Cabang Kota Bharu.

"Pek undi bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua Wanita yang sepatutnya diturunkan di Kota Bharu terbawa ke Tumpat.

"Kesulitan itu menyebabkan pengundian di cabang Kota Bharu terganggu," katanya ketika dihubungi FMT.

Walau bagaimanapun beliau menyifatkan proses pengundian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sehingga petang tadi secara keseluruhannya berjalan dengan lancar dan teratur.

"Pukul 6.45 pagi tadi kami sudah mengenal pasti masalah kertas undi di kedua-dua cabang itu.

"Malah di Kelantan dilaporkan berlaku hujan lebat dan kami sudah menjangkakan perkara ini berlaku.

"Kami cuba mengatasinya sebaik mungkin dan perkara itu telah diselesaikan sebelum solat Jumaat tadi," katanya.

Radin menjelaskan aspek ketelusan dalam proses pengundian amat dititikberatkan pihaknya sekaligus menafikan pelbagai dakwaan buruk terhadap pemilihan MPP yang sedang berlangsung.

Beliau berkata kesulitan sebegitu cuba diperbesarkan pihak tertentu sehingga timbul dakwaan ‘konspirasi’ dalam pemilihan tersebut.

"Disebabkan hal ini ada orang yang cuba menangguk di air keruh. Bila timbul masalah dalam pemilihan laju sahaja mereka dakwa wujud konspirasi.

"Ini tidak benar kerana pengawas pemilihan sentiasa memastikan setiap kertas undi dalam keadaan baik supaya proses pengundian berjalan dengan lancar dan telus," katanya.

Ketika ditanya mengenai peratusan ahli yang keluar mengundi terutama di Kelantan, beliau berkata jumlah ahli keluar mengundi adalah kecil namun masih memberangsangkan.

Ini katanya beberapa faktor kemungkinan timbul seperti pilihan raya kecil Galas yang sedang berlangsung mengalih perhatian pengundi untuk turun berkempen di sana.

Mengulas mengenai pengundian di Kedah, ujarnya pemilihan MPP lima cabang yang berlangsung hari ini berjalan dengan lancar.

No comments: