KUALA LUMPUR — Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kempennya masuk hari ketiga hari ini, mempunyai makna yang lebih besar kepada Umno berbanding PAS dalam menentukan arah aliran sokongan orang Melayu, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Oleh itu tegas beliau, Umno perlu mencapai kemenangan di Galas untuk membuktikan bahawa ia masih mendapat sokongan orang Melayu, yang dilihat terhakis banyak pada Mac 2008.
BN kehilangan kerusi Galas di tangan PAS buat julung kali pada 8 Mac 2008.
Penganalisis meramalkan PAS akan mengekalkan kerusi DUN Galas manakala BN akan menang di Batu Sapi.
Tengku Razaleigh berkata, keputusan pada 4 November ini mungkin boleh menjadi ukuran penerimaan rakyat terhadap Umno selepas perhimpunan agung tahunan minggu lalu.
“Mungkin, tetapi tidak boleh dijadikan ukuran juga, tinggal lagi kalau kita menang di sini apatah lagi dengan majoriti besar.
“Tetapi tak tahulah dapat majoriti besar atau tidak.
“Kalau ada perubahan, ia memberi signal bahawa rakyat mulai berubah sikap terhadap Barisan Nasional dan terutama sekali terhadap Umno.
“Walaupun ada lebih 20 peratus pengundi bukan Melayu di sini, tetapi makna itu lebih besar,” katanya.
PAS menerajui kerajaan negeri sejak 1990.
Dengan 20 peratus pengundi masyarakat Cina dan lebih kurang 18 peratus pengundi Orang Asli tetapi Galas terletak di negeri yang ramai penduduk Melayu.
“Dan, kita juga hilang Kedah, negeri yang ramai penduduk Melayu dan orang Melayu di Terengganu sudah merujuk balik kepada Barisan pada pilihan yang lepas (2004).
“Jadi, Umno sangat-sangat perlu kepada sokongan orang Melayu kerana ia parti Melayu.
“Kalau negeri-negeri majoriti penduduk Melayu ini tidak memihak kepada Umno makna nampak janggal sikitlah Umno ini,” kata beliau dalam temu bual dengan Utusan Malaysia disiarkan hari ini.
Mengenai peluang bagi BN, Ketua Umno Gua Musang ini berkata, peluang “kita berganung kepada rakyat.”
“Kita rasa kita dapat mengatasi beberapa masalah yang dirasakan strategik untuk rakyat seperti perumahan, kehidupan dan sebagainya, umpamanya rumah murah yang kerajaan bina yang kebetulan pada pilihan raya.
“Ini bukan diusahakan masa pilihan raya, ia diusahakan lebih lama dulu, cuma kita percepatkan pembinaannya, maka pilihan raya terjadi, begitulah,” kata pengarah jentera pilihan raya jentera BN ini.
Jadi, kata beliau, pihaknya berpendapat projek rumah ini akan mengubah pemikiran orang terhadap BN dan kerajaan BN kerana menawarkannya pada harga yang mampu dibeli atau dimiliki oleh orang-orang yang tidak mempunyai rumah.
“Tujuan kita hendak mengatasi masalah setinggan di bandar Gua Musang yang sedang berkembang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Tengku Razaleigh juga menafikan projek perumahan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin Ahad lalu sebagai projek “mi segera”.
“Tak segera, sudah lama diluluskan,” katanya lagi.
“Ia akan dilaksanakan di tiga kawasan, barangkali sebagai permulaan atau percubaan di Pagoh dan Pekan di Gua Musang.
“Jadi, benda ini patut kita buat awal lagi tetapi kerana pelancaran Rancangan Malaysia Ke-10, tertangguh,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata, beliau telah meminta agar projek itu dibuat seberapa segera yang boleh dan secara kebetulan diadakan pilihan raya kecil.
“Kebetulan ada pilihan raya. Macam pemberian rumah kepada Orang Asli, saya pun nak buat dengan cepat,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment