Oleh Te@M.IT
GALAS - Bahang pilihanraya kecil N.45 Galas semakin hangat, apabila pelbagai sepanduk dinaikkan oleh parti yang bertanding. Namun begitu, timbul persoalan apabila sepanduk yang dinaikkan oleh BN lebih banyak menentang calon PAS dan menonjolkan pengarah pilihanraya mereka, Ku Li berbanding calon.
"Ku Li jaga hak kita", "Ku Li Intelek" dan sebagainya, namun tiada langsung sepanduk mempromosi calon mereka sendiri, Abdul Aziz Yusof, seolah-olah beliau tidak memiliki apa-apa kekuatan untuk dijadikan modal kempen.
Senator Mumtaz Md Nawi ketika ditanya berhubung perkara ini, beliau berkata; "Perkara ini sudah biasa di dalam politik Umno. Perlantikan Ku Li sebagai pengarah jentera pilihanraya Umno hanyalah helah mereka. Tidak pelik kalau mereka menentang Ku Li di dalam isu royalti tetapi mengiktiraf Ku Li di Gua Musang."
Ujarnya lagi, "Encik Aziz tidak bersalah di dalam perkara ini. Umno meletakkan calon mereka berdasarkan hierarki jawatan di dalam parti, bukan berdasarkan kemampuan individu seperti yang diamalkan PAS. Oleh itu tidak hairan jika mereka mempertaruhkan mana-mana individu tetapi mempromosi individu lain kerana semua ini adalah untuk kepentingan politik mereka."
"Namun rakyat kena pilih calon yang bertanding, bukannya pengarah pilihanraya".
"Mereka berkempen dan menaikkan sepanduk Ku Li seolah-olah yang bertanding adalah Ku Li bukannya Abdul Aziz kerana mereka tahu Ku Li mempunyai pengaruh yang kuat di sini. Namun prestasi pengarah tidak mencerminkan prestasi calon." tegas beliau.
Beliau yang ditemui di markaz Muslimat PAS Negeri Kelantan turut bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat tempatan.
"Kita amat berharap pengundi bakal mengundi calon PAS. Dahulu kita menampilkan lulusan agama (Allahyarham Che Hashim Sulaima) sebagai wakil dan kali ini PAS mempersembahkan seorang doktor perubatan. Inilah keistimewaan Pas. Gabungan ulama dan profesional yang mantap, membayangkan kemantapan gabungan Pakatan Rakyat yang bakal berdiri di persada Malaysia."
Walaubagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa jentera tidak boleh berasa selesa memandangkan Gua Musang adalah kubu kuat Umno. "Jika kita bersedia mereka juga bersedia. Namun rakyat kena sedar, kalau BN benar-benar mengotakan janji, Gua Musang pasti lebih membangun daripada yang kita lihat hari ini."
Beliau turut menyeru seluruh jentera agar mempertingkat komitmen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.
"Menjelang 10 Zulhijjah ini, muslimin muslimat kita beribadah dengan tawaf dan sai. Jihad mereka di Mekah dan Mina. Jihad kita di sini untuk menjulang dasar-dasar Islam di Kelantan. Segala pengorbanan, sumbangan tenaga yang kita curahkan walaupun besar namun tidak dapat menandingi perjuangan dan ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita mohon doa-doa mereka menghantar kekuatan kepada kita di sini," ujar beliau mengakhiri pertemuan.
No comments:
Post a Comment