Friday, October 29, 2010

3 permintaan nelayan Batu Sapi

BERNAMA


Infrastruktur seperti titian dan jalan yang lebih sempurna, penyelesaian isu sampah dan bekalan air bersih adalah antara permintaan penduduk perkampungan air di kawasan Batu Sapi di Sandakan, yang harus dipenuhi oleh calon yang memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen kawasan itu.

Rata-rata penduduk yang ditemui di beberapa buah perkampungan tersebut mahukan kemudahan asas diperbaiki bagi menambah keselesaan mereka yang terdiri daripada golongan nelayan.

"Ini jambatan (titian papan) jalan sudah banyak yang patah, berlubang. Kalau nak buat sendiri, susah (dari segi kewangan) kerana kami orang nelayan," kata Ng Kong Min, seorang penduduk di Kampung Pukat ketika ditemui Bernama.

Bekas nelayan berusia 68 tahun itu berkata keadaan perkampungan tersebut terutamanya rumah penduduk semakin terbiar kerana kebanyakan golongan muda sudah berhijrah ke bandar besar untuk mencari rezeki.

"Sekalipun ibu bapa masih tinggal di sini, tetapi usia sudah lanjut dan sukar untuk membaiki keadaan rumah dan juga titian papan yang menghubungkan antara rumah kami," kata Ng yang kini menyara hidup dengan menjual ikan masin.

Perkampungan itu yang terletak kira-kira 10 minit dari bandar Sandakan mempunyai sekitar 100 buah rumah didiami penduduk Cina dan bumiputera Islam, juga terkenal dengan makanan laut yang segar dan murah.

Bagaimanapun, seperti kelaziman perkampungan di atas air di sekitar negeri ini, Kampung Pukat juga tidak terkecuali daripada permasalahan sampah hanyut yang berlonggok di bawah rumah.

Isu tersebut juga memerlukan penyelesaian memandangkan kebanyakan sampah terdiri daripada bahan plastik yang tidak boleh reput dan boleh menimbulkan masalah lain termasuk pencemaran alam sekitar.

Kampung Segaliud yang terletak kira-kira 70 km dari sini juga menghadapi masalah titian papan, selain memerlukan jalan raya yang lebih baik bagi mengangkut hasil kelapa sawit.

Salah seorang penduduknya Abani Madullah, 50, berkata dia mahu wakil rakyat yang dipilih kelak sentiasa turun padang bagi melihat sendiri permasalahan penduduk terutamanya berkaitan dua infrastruktur tersebut.

"Tapi saya bersyukur kerana daripada segi bekalan air dan elektrik serta bantuan kepada nelayan, kerajaan amat prihatin," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Trunglit di Pulau Timbang, Badarun Baharun berkata kampung itu amat memerlukan bekalan air bersih.

"Buat masa sekarang, kira-kira 500 penduduk di sini terpaksa bergantung kepada bekalan air minum dari sebatang anak sungai yang terelatk kira-kira 500 meter dari pinggir kampung.

"Kami berharap kerajaan dapat membantu kami mencari kaedah paling sesuai untuk memudahkan kami mengambil air dari anak sungai ini yang turut dikongsi oleh penduduk kampung lain seperti Terusan Baru," katanya.

Tiga buah kampung ini adalah antara 14 perkampungan di atas air yang berada di bawah kawasan Parlimen Batu Sapi yang kini menghadapi pilihan raya kecil selepas penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah dari Barisan Nasional meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kota Kinabalu pada 9 Okt lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, Parti Maju Sabah dan Parti Keadilan Rakyat. Penduduk akan menentukan siapa wakil mereka pada 4 November ini.


No comments: