Friday, October 1, 2010

Najib resah, Selangor jadi lubuk ‘puaka’ Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sudah menampakkan keresahan kerana kehilangan kuasa di Selangor yang dianggap lubuk emas selama ini sudah menjadi lubuk puaka untuk Umno.

Sehubungan itu, PAS berpandangan ucapan Najib pada Malam Sejuta Harapan Ke-6 Yayasan Basmi Kemiskinan di Pusat Persidangan Sime Darby, di sini malam tadi sebagai satu ucapan orang yang tidak menerima kekalahan dalam sebuah negara demokrasi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata rakyat semakin menerima perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat walaupun menerima berbagai halangan daripada kerjaaan Pusat.

“Model yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan inilah yang akan menjadi peta lakaaran untuk menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti, insya Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya berpandangan kenyatan Najib yang mengatakan sealah-olah rakyat susah dengan pertukaran kerajaan di Selangor adalah tidak lojik.

Secara sinis, tambahnya orang buta yang rasional boleh membezakan antara kerajaan Umno BN di Selangor selama 51 tahun dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru sahaja mencecah umur tidak sampai 3 tahun, tetapi sudah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Apakah dengan pembiayaan air percuma, skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), skim kifalah RM2,500 untuk warga emas yang meninggal, masjid diimarahkan, program pembinaan jati diri melalui program SPIES ini adalah amalan buruk?” soalnya.

Baginya, Najib yang juga pengerusi Umno negeri melahirkan rasa kecewa kerana banyak rancangan YBK telah tergendala kerana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah mengambil semula tanah milik yayasan itu di Serendah seluas 312 hektar itu atas alasan tidak membayar tunggakan cukai RM5.7 juta.

Tapak itu mulanya dicadangkan untuk membuka kampus cawangan UiTM.

“Perlu diingat bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah mengikut peraturan,” ujarnya.

Beliau menambah, kenyataan akbar mengenai kertas putih Yayasan Basmi Kemiskinan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim pada 13 April 2010 boleh dirujuk, bagaimana banyak keraguan perjalanan YBK selama ini sehingga orang miskin semakin bertambah kerana ia tidak menepati sasarannya.

Menurutnya, sejak pilihan raya umum 2008 lalu, banyak ucapan pemimpin Umno yang menampakkan kekecewaaan yang tidak berkesudahan.

Katanya, pemimpin Umno BN menganggap bahawa mereka sahaja yang boleh memerintah Malaysia ini sampai kiamat, seolah-olah kerajaan mereka tidak ada ajal sedangkan dalam sebuah negara demokrasi jatuh bangun adalah biasa.

“Selalu pemimpin Umno berhujah jika kerajaan sering bertukar, kerajaan tidak maju. Hujah ini tertolak kerana Jepun, Amerika Syarikat, Britain dan lain-lain negara tetap unggul dan hebat walaupun parti politik pemerintah sering bertukar ganti,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS menasihatkan pemimpim Umno belajarlah politik daripada PAS yang bersemangat kental dalam menghadapi perjalanan politik, walaupun tidak berada di padang yang sama.

PAS, jelasnya pernah memerintah Kelantan dari 1959 selama 18 tahun kemudian tewas pada tahun 1978 melalui tindakan yang tidak demokratik.

Akhirnya, kata beliau PAS bangkit kembali dan berjaya menguasai Kelantan 1990 hingga kini.

Begitu juga, katanya di Terengganu di mana PAS pernah menang pada tahun 1959 dan jatuh melalui teknik yang tidak bermoral pada tahun 1961, kemudian mendapat mandat kembali pada 1999 dan tewas 2004 melalui konspirasi yang terburuk dengan penambahan pengundi yang tidak masuk akal sehingga 17%.

“Namun Pas boleh bersabar dan membuat muhasabah dalaman dan menyusun strategi untuk maju ke hadapan. Perkara ini tidak berlaku kepada pemimpin Umno BN,” katanya lagi.

No comments: