Monday, October 4, 2010

Laksanakan NKPA serentak dengan NKEA

MERDEKA REVIEW

Kerajaan telah menggariskan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bersama-sama dengan 131 Projek Permulaan (EPP) serta 60 peluang perniagaan sempena Hari Terbuka Program Transformsi Ekonomi (ETP) di PWTC. Melalui ETP, kerajaan berhasrat menarik keseluruhan jumlah pelaburan swasta sebanyak USD266 bilion dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dan turut menyumbang kepada 60% jumlah pelaburan berjumlah USD444 bilion.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin menekankan bahawa selepas krisis kewangan Asia 1997-98, pelaburan swasta di Malaysia turut menjadi lumpuh dan lembap. Jumlah pelaburan swasta dari tahun 2005 hingga 2010 adalah sebanyak RM410 bilion, ataupun secara purata berjumlah RM68 bilion setahun sahaja. Aspirasi ETP untuk melonjakkan jumlah pelaburan swasta ke tahap RM120 bilion setahun merupakan satu cabaran besar.

Untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, selain daripada dasar pembangunan ekonomi, kerajaan Najib harus melaksanakan langkah perubahan dan pembaharuan dalam bidang politik secara serentak supaya perkara ini dapat menjana impak yang mampu melipatgandakan usaha peningkatan pelaburan dan daya saing negara. Dengan itu, KPRU menggariskan 5 Bidang Politik Utama Negara (NKPA) sebagai langkah perintis bagi mewujudkan suasana pembangunan ekonomi dan pelaburan yang kondusif di Malaysia.

NKPA 1: Pembaharuan Proses Penyediaan Belanjawan Negara

Seperti yang dihuraikan dalam kenyataan KPRU bertajuk "Buktikan KPI Kerajaan dengan Pembentangan Laporan Penilaian Separuh Penggal Belanjawan Negara 2010", negara yang tidak mempunyai proses penyediaan belanjawan telus dan terbuka lazimnya merupakan negara berpendapatan rendah. Kebanyakan negara dalam golongan tersebut adalah negara yang banyak bergantung kepada pendapatan hasil minyak atau pinjaman luar negara yang mempunyai samada institusi demokrasi yang lemah ataupun diperintah oleh regim kukuh besi. Maka, sebagai langkah pertama membuktikan kepercayaan dan keazaman kerajaan hari ini terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik, kerajaan wajar menjadi teladan dengan memperbaharui proses penyediaan Belanjawan Negara.

NKPA 2: Pembaharuan PDRM Melalui Penubuhan IPCMC

Sebelum persaraan Ketua Polis Negara Musa Hassan, kenyataan beliau bahawa terdapat sesetengah pihak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah menjadi kejutan ramai. Tambahan pula, penahanan kartunis Zunar baru-baru ini sekali lagi membuktikan sikap tidak professional agensi polis di Malaysia. Beliau bukan sahaja direman melebihi 24 jam, dibawa ke 7 balai polis sebelum mengambil keterangan, malah haknya untuk diwakili peguam juga dinafikan. Pada masa yang sama, jumlah kes kematian dalam tahanan dan penyalahgunaan kuasa polis juga menunjukkan tren peningkatan yang membimbangkan. Hal ini seterusnya akan menyebabkan rakyat berasa tidak selamat meskipun kerajaan memberikan statistik kadar jenayah yang memaparkan gambaran penurunan.

Sehingga hari ini, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Pembaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis masih belum dilaksanakan. Malahan, cadangan tersebut turut digantikan dengan versi mini yang digelar Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) dan kemudian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang sememangnya jelas tidak dapat meyakinkan orang ramai.

Sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula cadangan penubuhan IPCMC bagi memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur terhadap badan penguatkuasaan dan juga taraf keselamatan negara ini.

NKPA 3: Pembaharuan Institusi Parlimen

Kepentingan dan kedaulatan Parlimen sebagai badan perundangan di Malaysia dilihat sama sekali tidak diberikan perhatian sewajarnya sebelum ini. Peranan pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang (check and balance) juga tidak ditiikberatkan dan diinstitusikan dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Langkah pembaharuan terhadap institusi parlimen dapat memberikan gambaran kepada pelabur dan orang ramai bahawa kerajaan Malaysia mengambil berat terhadap cabang perundangan, fungsi pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang, dan juga representasi suara rakyat yang terbanyak. Malahan, amalan persidangan dewan di Malaysia sekarang ini pun tidak memberikan ruang yang berpatutan kepada peranan semak imbang untuk berfungsi dengan baik.

Oleh yang demikian, beberapa inisiatif wajar dilaksanakan untuk menonjolkan imej Malaysia sebagai negara maju yang dapat menjalankan urusan kerajaan secara demokratik dan matang. Antaranya termasuk:
1.melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dari kalangan pembangkang;
2.menubuhkan jawatankuasa pilihan dalam bidang-bidang tertentu;
3.menginstitusikan peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen tanpa mengira partisan;
4.memberikan ruang kepada pembentangan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen Biasa (private members' bill).

NKPA 4: Pembaharuan Badan Kehakiman

Selepas siasatan inkuiri dibuat oleh Suruhanjaya Diraja mengenai kemelut pita video Lingam, bukan sahaja tiada pihak yang dikenakan tindakan, malah dua bekas ketua hakim negara bersama peguam VK Lingam yang terlibat dalam kes tersebut berjaya mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar hasil penemuan yang terkandung dalam laporan siasatan Inkuiri Suruhanjaya tersebut.

Perkara ini telah menyebabkan imej institusi kehakiman Malaysia sekali lagi terhakis lebih-lebih lagi apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim didakwa di mahkamah atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya yang bernama Saiful Bukhari. Proses pembicaraan yang kurang telus dan penuh dengan kecurigaan itu telah menimbulkan keraguan dalam kalangan pelabur, orang awam dan masyarakat antarabangsa. Perkara ini telah dikenal pasti oleh Jutawan British Richard Branson dengan menyatakan bahawa perbicaraan tersebut telah menjadi "duri dalam daging" dan menjejaskan keyakinan pelabur.<6>

Perkembangan peristiwa-peristiwa yang disebut di atas seolah-olah memberikan gambaran kepada pelabur dan rakyat bahawa kerajaan tidak dapat, bahkan tidak berniat melakukan sebarang perubahan untuk memperbaiki imej badan kehakiman di negara ini. Oleh sebab itu, untuk memulihkan keyakinan pelabur dan rakyat, kerajaan wajar menggariskan beberapa langkah tambahan bagi memantapkan sistem kehakiman negara kita. Penguatkuasaan akta-akta seperti Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Akta Jawatankuasa Etika Hakim yang merupakan legasi di zaman Abdullah Badawi sudah tidak lagi memadai.

NKPA 5: Pembaharuan Sistem Pilhanraya

Hari ini, terdapat sekurang-kurangnya 4 juta senarai warga Malaysia berkelayakan mengundi yang masih belum lagi mendaftar sebagai pengundi. Pada masa yang sama, terdapat lebih kurang 750 ribu warga Malaysia yang sedang bekerja/bermastautin di luar negara yang tidak dapat mengundi dalam pilihanraya lalu.

Bagi memulihkan sistem semak dan imbang, kerajaan wajar meneliti kelemahan sistem dan pentadbiran pilihanraya yang sedia ada. Pendaftaran menjadi pengundi secara automatik, mengadakan mekanisma mengundi bagi warga Malaysia di luar negara, rombakan sistem undi pos yang kurang telus, peranan media semasa pilihanraya umum dan langkah-langkah lain haruslah disemak dan dilaksanakan secara berperingkat.

Adalah tidak munasabah sama sekali jika kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi menjalankan kajian dan menubuhkan makmal untuk Program NKEA dan Progam Transformasi Kerajaan (GTP), tetapi enggan mengakui bahawa pembaharuan institusi politik adalah sama, jika tidak lebih penting daripada inisiatif pembaharuan ekonomi. Selain dari NKRA dan NKEA, rakyat seluruhnya juga ingin melihat Bidang Politik Utama Negara, ataupun NKPA dilaksanakan secara serentak. KPRU bersependapat dengan penekanan kerajaan terhadap prinsip ketelusan, inklusif dan mengutamakan pencapaian. Pelaksanaan kelima-lima NKPA tersebut akan menjadi langkah perintis memulihkan keyakinan pelabur, membangunkan ekonomi Malaysia dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://kpru2010.wordpress.com/.

*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang bebas dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

No comments: