KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menamakan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan tidak akan menjatuhkan darjatnya sebagai kerabat raja.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata sebaliknya ia memberi penghormatan yang besar kepada veteran Umno itu kerana dapat mewakili rakyat.
“Sebagai seorang ahli Umno dan Majlis Tertinggi Umno, saya sokong kalau Tengku Razaleigh (gambar) bukan sahaja bersetuju jadi pengarah pilihan raya BN, tetapi juga menjadi calon.
“Tak ada soal darjat. Saya tidak merasa hina kalau kita menawar diri mewakili rakyat.
“Pada saya, Tengku Razaleigh tidak akan merasa hina kerana mewakili rakyat kerana itu adalah satu penghargaan yang paling tinggi yang boleh rakyat beri kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Bas Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cadangan itu sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh sebagai seorang pemimpin veteran bertanding di peringkat DUN.
Kerusi DUN Galas itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lalu.
Dipetik Bernama, Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dalam keadaan sekarang, adalah penting bagi Umno dan BN memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
“Dalam politik, kita nak menang dan begitu juga dengan parti pembangkang. Tak ada yang masuk bertanding (pilihan raya) nak kalah. Itu politik gila namanya.
“Kita merasakan Tengku Razaleigh pemimpin yang boleh dapat sokongan padu bukan sahaja dari Umno tetapi juga dari rakyat dan kita nak menang,” katanya.
Hari ini, Setiausaha Agung BN yang juga Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata Tengku Razaleigh bersetuju untuk menjadi pengarah pilihan raya BN pada pilihan raya kecil Galas.
No comments:
Post a Comment