KUALA LUMPUR — Umno Gua Musang akan mengadakan mesyuarat dengan ketua empat peringkat Umno Cawangan Galas hari ini bagi membincangkan strategi dalam menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Timbalan ketuanya, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata selain melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri, mesyuarat itu juga turut melibatkan pemimpin cawangan DUN Galas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya sekitar pukul 11 pagi ini.
“Hari ini kita akan mengadakan mesyuarat dengan kesemua ketua empat peringkat dan pemimpin di sini (Galas).
“Kita akan membincangkan beberapa perkara penting dalam mesyuarat hari ini yang mana ia melibatkan persediaan dalam menghadapi pilihan raya kecil Galas,” kata beliau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider.
Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri juga berkata, tarikh pelancaran jentera pilihan raya hanya diumumkan selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di DUN Galas pada 13 Oktober.
“Kita masih belum buat keputusan bila akan melancarkan jentera pilihan raya.
“Kita tunggu Timbalan Perdana Menteri datang ke sini dulu (Galas), baru ada ilham,” katanya.
Minggu lalu Muhyiddin mengumumkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, minggu lalu.
Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.
DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
No comments:
Post a Comment