PUTRAJAYA: Kegagalan kerajaan menyegerakan penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja memberi impak negatif terhadap golongan pekerja swasta yang diberhentikan akibat krisis kewangan global.
Buktinya, 20 bekas pekerja kilang Syarikat Cheng Hin Giap (CHG) Plywood Sdn Bhd di Cheras dekat sini yang diberhentikan sejak Mac 2007 menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi menuntut bayaran pampasan tertunggak berjumlah RM158,611.
Ini berikutan kilang majikan mereka mengalami kerugian berikutan krisis ekonomi global yang turut melanda negara ini.
Bekas pekerja-pekerja kilang itu berkumpul secara aman dihadapan pintu masuk utama KSM kira-kira pukul 11 pagi tadi dengan membawa kain rentang dan kadbod bagi mendesak pihak kementerian mendengar keluhan suara mereka.
Manakala Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan yang mewakili pekerja terbabit serta tiga daripadanya menaiki aras 5 bangunan kementerian untuk berjumpa dengan pegawai dan menyerahkan memorandum itu.
Arutchelvan berkata, memorandum itu dikemukakan bagi menuntut pihak kerajaan bertanggungjawab membayar baki 65 peratus daripada jumlah RM244,016.65 di bawah Faedah Pemberhentian Kerja.
Beliau juga menggesa agar Tabung Pemberhentian Pekerja dilaksanakan bagi membela nasib pekerja yang diberhentikan akibat majikan bankrap atau dalam kerugian.
Katanya, masalah itu telah diadukan kepada Jabatan Sumber Manusia, di bawah kementerian itu sejak tahun 2006 dan pelbagai rundingan melalui pihak Jabatan Buruh, laporan polis, serta memfailkan saman di Mahkamah Buruh telah dibuat.
Namun sehingga kini para pekerja terbabit hanya berjaya mendapat 35 peratus faedah sahaja yang berjumlah RM85,405.
"Ini adalah kali ketiga kumpulan ini mengemukakan memorandum kepada KSM, namun campur tangan kerajaan melalui KSM, Jabatan Buruh dan Jabatan Perhubungan Perusahaan gagal memberi satu penyelesaian baik kepada kami.
Kebocoran dalam sistem
Pihak majikan dapat menggunakan kebocoran-kebocoran dalam sistem sedia ada untuk tidak membayar pampasan, memanipulasi mahkamah dengan menggunakan helah baru.
"Kita menjadi mangsa dan banyak pekerja lain menjadi mangsa kerana KSM gagal menangai masalah pekerja yang diberhentikan.
Syarikat boleh melarikan diri dan membuka perniagaan lain manakala pekerja merana," katanya kepada pemberita disini hari ini.
Beliau juga berkata, perkara ini mungkin dapat dielakkan jika cadangan yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak tahun 1997 mengenai penubuhan tabung terbabit dipandang serius.
"Jika kerajaan melaksanakan Tabung Pemberhentian Pekerja seperti yang disarankan dahulu, masalah yang melanda kami dan pekerja lain tidak akan wujud.
"Malangnya tabung ini tidak dilaksanakan kerana pihak Kesatuan Majikan tidak setuju. Nampaknya kerajaan lebih prihatin kepada Kesatuan Majikan daripada masa depan rakyat pekerja di negara ini," katanya.
Idea tabung seumpama ini pertama kali dikemukakan dalam rangka rancangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada tahun 1997 oleh MTUC semasa krisis ekonomi global yang turut melanda negara ini.
Di bawah cadangan MTUC itu, setiap pekerja boleh menyumbang RM1 sebulan dan ini diimbangi dengan sumbangan oleh majikan.
Ia menganggarkan sejumlah RM14 juta dapat dikumpul setiap bulan berdasarkan tujuh juta pekerja aktif dimana PERKESO pada masa ini mempunyai 5.5 juta pencarum.
Cadangan penubuhan tabung itu juga telah pun dibentangkan di kabinet sejak tahun 2005 namun sehingga kini masih belum diputuskan.
No comments:
Post a Comment