Thursday, October 28, 2010

Adam Lambert, IFF: DPPWP hantar memo kepada JAKIM


IMG00155-20101027-1151Oleh Jamilah Kamarudin

PUTRAJAYA: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini menghantar memorandum aduan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung beberapa penganjuran program yang didapati mampu menyeleweng akidah umat Islam negara ini.

Penyerahan itu adalah langkah alternatif DPPWP selepas mengambil keputusan membatalkan demonstrasi di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Penyerahan memorandum yang diketuai Pemangku Ketua DPPWP Herman Samsudeen bersama lima exconya pada awalnya mahu ditujukan kepada Ketua Pengarah JAKIM Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

"Namun kami dimaklumkan Pengarah JAKIM sedang bermesyuarat dan memorandum ini diserahkan melalui Pegawai Perhubungannya Asiah Al-Kharibshah," kata Herman kepada pemberita disini hari ini.

DPPWP dalam memorandum itu meminta agar JAKIM memainkan peranan lebih aktif sebagai penasihat syariah kepada mana-mana penganjuran program rasmi serta melibatkan pemimpin negara.

Mengambil contoh penganjuran konsert penyanyi gay antarabangsa Adam Lambert pada 14 Oktober lalu, Herman berkata imej yang dibawa artis luar mampu membawa penularan budaya negatif dalam masyarakat negara ini.

"Malang sekali sebenarnya kami diberitahu ada wakil JAKIM dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan (Puspal).

"Sepatutnya JAKIM boleh memainkan peranan melalui Puspal menghalang penganjuran konsert sebegitu," katanya.

Begitu juga dengan penganjuran Festival Fesyen Busana Muslim (IFF) yang dinaungi isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Monte Carlo 9 Ogos lalu yang jelas menghina Islam, katanya.

Tiada garis panduan

"Insiden itu berlaku kerana pereka fesyen tidak diberi penerangan dan garis panduan tentang konsep Islam yang sebenar.

"Jadi DPPWP mendesak agar JAKIM wujudkan panel khas memantau penganjuran IFF 5 November nanti di Kuala Lumpur bagi mengelakkan perkara sama berulang," katanya.

Beliau turut membidas ulama muda Umno yang mempertahankan Rosmah sebagai penaung IFF selepas dikecam masyarakat terutama pembangkang.

"Sebagai penasihat Umno, mereka sepatutnya menasihati pemimpin Umno daripada terus melakukan kemungkaran.

"Jika ulama Umno tak boleh nak tegur, baik tak payah jadi Umno," katanya.

Selain itu, Herman berkata pihaknya menyambut baik cadangan agar JAKIM tidak lagi berada dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diwujudkan sebagai satu kementerian.

"Kami faham JAKIM dibawah JPM tiada kuasa, hanya boleh beri nasihat sahaja. Tapi adalah lebih baik jika JAKIM diwujudkan sebagai satu kementerian yang boleh berkuasa dan buat akta baru untuk kawal budaya sebegini.

"Sekurang-kurangnya masyarakat tidak akan lihat JAKIM hanya sebagai agensi yang mengawal produk halal sahaja," katanya.

No comments: