Jumaat, 2 Oktober 2009

SPRM: Butiran lengkap siasatan ke atas Ong tidak dapat didedahkan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Butiran lengkap siasatan ke atas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak dapat didedahkan buat masa ini ekoran bimbang ia akan mengganggu proses siasatan, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu ia turut tertakluk kepada kerahsiaan maklumat di bawah Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kata kenyataan itu.

SPRM akan mengemukakan hasil siasatan tersebut kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk diteliti setelah siasatan selesai dijalankan kelak, katanya lagi.

"Bagi kes yang tidak dituduh di mahkamah, telah diwujudkan mekanisme 'check and balance' di mana keskes tersebut akan dikemukakan kepada Panel Penilaian Operasi yang terdiri daripada kalangan profesional untuk memberikan pandangan mereka," kata kenyataan itu sebagai mengulas gesaan pelbagai pihak supaya diberikan penjelasan mengenai perkembangan siasatan kes terhadap Ong.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing tahun lepas.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa SPRM sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut mengikut prosedur siasatan sedia ada.

Katanya, beberapa rakaman percakapan saksi telah diambil dan SPRM juga sedang mendapatkan beberapa dokumen tambahan yang dapat membantu siasatan terhadap kes itu.

Tambah kenyataan itu lagi, setiap kes akan disiasat dengan telus dan adil tanpa mengira kepentingan pihak tertentu.

"SPRM berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi terhadap manamana kes yang disiasat serta memahami akan prosedur dan batasan undangundang yang tidak membolehkan SPRM mendedahkan sebarang butiran lanjut terhadap apaapa kes yang masih dalam proses siasatan," kata kenyataan itu.

Pada 4 September lepas, Ong buat kali kedua telah disoalsiasat SPRM berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan menerima RM10 juta daripada kontraktor projek siap guna itu.

Tiada ulasan: