MALAYSIA KINI
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hari ini menafikan dakwaan bahawa berlaku salahguna kuasa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kawalan media baru.
Kementerian itu, dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu jelas menunjukkan terdapat pihak tertentu yang ingin mencemar dan memperlekehkan kewibawaan SKMM sebagai badan bebas yang mengawalselia kemudahan, perkhidmatan internet dan kanduangan yang dipaparkan.
"Kementerian mengambil perhatian serius terhadap dakwaan yang tidak benar dan tidak berasas ini. SKMM sentiasa bertindak selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata kenyataan itu, lapor Bernama.
Katanya, tindakan kawalseliaan yang diambil oleh pihak SKMM sentiasa bersifat telus, adil dan seimbang.
"Malah SKMM adalah agensi yang mendukung dan memelihara dasar kerajaan. Ini terbukti kerana sehingga ini, Malaysia adalah antara negara yang tidak mengenakan sebarang sekatan kepada internet kecuali laman-laman web yang kandungannya berbentuk lucah, ancaman terhadap keselamatan negara dan penipuan," katanya.
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata kes-kes penutupan laman web tertentu adalah melalui proses perundangan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Oleh itu, dakwaan pemilik laman-laman web yang berkenaan kononnya SKMM menutup perkhidmatan lamanweb mereka dan bertindak sebagai 'gestapo' adalah fitnah semata-mata, katanya.
"Apa yang berlaku pada hari berkenaan ialah gangguan teknikal yang menyebabkan laman web berkenaan tidak boleh diakses oleh orang ramai," menurut kementerian itu.
Sehubungan itu, kementerian itu menasihati pihak tertentu supaya menghentikan laporan artikel yang tidak mempunyai fakta serta bersifat fitnah dan menyeru orang ramai supaya jangan terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan