BERNAMA
KUALA LUMPUR: Angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie hari ini gagal dalam permohonannya bagi membatalkan saman yang difailkan seorang ahli perniagaan terhadapnya, setelah Mahkamah Sesyen menolak permohonannya dengan kos.
Hakim Madihah Harullah yang membuat keputusan itu dalam kamarnya memutuskan bahawa saman yang difailkan plaintif, Norlina Nordin, mempunyai merit untuk dibicarakan.
Beliau menetapkan 25 Nov ini untuk sebutan bagi pengurusan kes itu.
Peguam Dzaki Ezhar Bahar yang mewakili Sheikh Muszaphar sebagai defendan dalam kes saman tersebut memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata tiada alasan diberikan oleh hakim itu. Bagaimanapun pihaknya akan memohon alasan bertulis bagi menyediakan alasan-alasan rayuan.
Kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah.
Pada 25 Julai tahun lepas, Norlina menfailkan saman terhadap Sheikh Muszaphar kerana mendakwa telah melanggar kontrak pelantikannya sebagai pembantu peribadi dan menuntut ganti rugi melebihi RM90,000.
Norlina dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Sheikh Muszaphar tidak menjelaskan upah perkidmatan sebagai pembantu peribadinya seperti yang dipersetujui menerusi satu surat pelantikan pada 2 April tahun lepas.
Norlina mendakwa pada 28 Mei tahun lepas dia menerima surat penamatan perkhidmatannya daripada Sheikh Muszaphar sebagai pembantu peribadi selepas berhasil mendapatkan pelbagai kontrak termasuk satu projek di bawah Penyiaran Television Astro.
Dalam penyataan tuntutan itu, Norlina memohon jumlah wang sebanyak RM45,000 sebagai upah yang adil dan munasabah, ganti rugi RM47,751, ganti rugi am dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Sheikh Muszaphar dalam pernyataan pembelaan menafikan pelantikan Norlina sebagai wakilnya dalam sebarang urusan perniagaan.
Beliau juga memfailkan tuntutan balas terhadap Norlina dan menuntut bayaran sebanyak RM25,000 yang diambilnya daripada Majlis Tindakan Negeri Sembilan yang sepatutnya dibayar kepadanya (Sheikh Muszaphar).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan