Selasa, 27 Oktober 2009

Presiden Indonesia lawat Malaysia 11 November

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan mengadakan lawatan sehari ke Malaysia, negara ASEAN pertama dilawati beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal kedua, 11 November ini.

Dalam lawatan itu, Susilo dan rombongan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Selain itu, Susilo turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, lawatan Susilo dan rombongannya ke negara ini bagi mengukuhkan hubungan yang sedia erat antara kedua-dua negara.

''Presiden Susilo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai isu-isu bilateral kedua-dua negara dalam usaha mengukuh serta mempertingkatkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas dikurniakan gelaran sebagai Profesor Keselamatan dan Antikeganasan dari Universiti Edith Cowan, Australia di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini hari ini.

Turut hadir presiden yang juga naib canselor universiti itu, Prof. Kerry O. Cox.

Katanya lagi, pemilihan Malaysia sebagai negara pertama dilawati Susilo selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal kedua adalah kerana hubungan kedua-dua negara merupakan yang paling strategik di rantau ini.

''Perbincangan itu juga meliputi isu-isu kepentingan bersama, kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pembangunan infrastruktur dan keselamatan di sempadan antara kedua-dua negara serta isu-isu ASEAN," katanya.

Susilo mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua untuk tempoh 2009- 2014 selepas memenangi pilihan raya Presiden republik itu pada 8 Julai lalu.

Pada 20 Oktober lalu, Najib menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo di Istana Presiden, Indonesia.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Menurut Da'i Bachtiar, lawatan Susilo ke Malaysia adalah satu tradisi di kalangan pemimpin ASEAN yang baru dilantik untuk mengunjungi rakan-rakan sejawatannya.

''Hubungan yang begitu rapat antara pemimpin kedua-dua negara menjadi kekuatan dalam hubungan Malaysia-Indonesia." katanya.

Tiada ulasan: