Jumaat, 9 Oktober 2009

'Perang makan malam' rebut perwakilan MCA

Kuek Ser Kuang Keng


Empat majlis makan malam akan diadakan di ibunegara malam ini, anjuran dua puak yang bertelagah, untuk merebut 2,377 perwakilan yang akan menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) esok.

Jawatankuasa pusat MCA yang diketuai Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan akan mengadakan majlis makan malam di Wisma MCA. Sebanyak 200 meja disediakan.

Kemudiannya, puak timbalan presiden MCA yang digantung, Datuk Seri Chua Soi Lek memutuskan malam tadi untuk mengadakan tiga majlis makan malam di tiga hotel berasingan, yang menjadi tempat penginapan para perwakilan.

Ahli jawatankkuasa pusat MCA, Loh Seng Kok mengesahkan tiga majlis makan malam akan diadakan di Hotel Dynasty, Hotel Federal dan Hotel Chorus.

Hotel Chorus terletak berhadapan Wisma MCA, tempat majlis makan malam anjuran puak Ong diadakan. Loh berkata, majlis makan malam anjuran mereka boleh menampung 1,200 perwakilan.

Beliau menjelaskan, pada mulanya mereka bercadang mengadakan majlis makan malam besar di sebuah stadium tetapi menukarnya ke tiga hotel berkenaan untuk kemudahan para perwakilan.

"Mereka memberitahu kami yang mereka tidak mahu terjebak dalam kesesakan lalulintas untuk menghadiri majlis makan malam tersebut. Jadi, kami mengadakannya di hotel tempat mereka menginap," katanya ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi.

Malaysiakini difahamkan bahawa penyokong Chua juga mengambilkira faktor yang Chua tidak boleh menghadiri majlis makan malam anjuran puak Ong serta tidak dapat menghadiri EGM pagi esok untuk menemui para perwakilan, kerana keahliannya telah digantung.

Oleh itu, beliau akan menghadiri ketiga-tiga majlis makan malam ini secara bergilir untuk menyampaikan ucapan sebelum para perwakilan memutuskan nasibnya esok.

Langkah mengadakan tiga majlis malam malam itu juga merupakan satu strategi untuk 'memalukan' puak Ong dengan mengurangkan jumlah kehadiran di majlis makan malam di Wisma MCA.

Tiada ulasan: