Jumaat, 23 Oktober 2009

Najib kecewa 2 isu pendedahan audit

BERNAMA


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan perbelanjaan melampau dan penyelewengan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah.

“Apa yang penting daripada laporan itu ialah sama ada kita akan bertindak atau tidak. Mereka melanggar peraturan akan dikenakan tindakan,” kata Perdana Menteri ketika menjawab soalan pada taklimat media mengenai Bajet 2010, Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Najib berkata, sebagai sebahagian daripada amalan kerajaan yang baik, kerajaan perlu memberi penghargaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi dan bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Namun, beliau yakin keadaan akan menjadi lebih baik dengan adanya Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama yang diumumkan awal tahun ini untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Baru-baru ini, Najib melantik bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia, Datuk Seri Idris Jala sebagai menteri mengetuai sebuah unit memantau Petunjuk Prestasi Utama. -

Tiada ulasan: