Khamis, 1 Oktober 2009

Mahkamah batal saman fitnah Chin Peng

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam membatalkan saman fitnah yang dikemukakan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng terhadap Kerajaan Malaysia.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakimannya memberi tiga alasan untuk menolak saman Chin Peng dengan kos.

Alasan pertama katanya, Chin Peng tidak mempunyai kapasiti untuk membawa tindakan mahkamah mewakili keseluruhan ahli PKM.

“Keduanya, sudah menjadi pengetahuan masyarakat dan fakta sejarah serta tidak boleh dinafikan mengenai kekejaman yang dilakukan Chin Peng dan PKM. Jadi dia tidak layak mengatakan reputasinya terjejas dengan laporan itu.

“PKM juga tidak boleh membuat sebarang tuntutan di sisi undang-undang berikutan pertubuhan itu tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Oleh itu ia tidak mempunyai kapasiti untuk menyaman Kerajaan Malaysia,” katanya.

Chin Peng memfailkan saman itu berikutan laporan media pada 21 Mac dan 6 Mei 2005 memetik kenyataan Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Zainuddin Maidin bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan dokumentari mengenai kekejaman pengganas komunis selepas Perang Dunia Kedua dan sedekad selepas kemerdekaan Malaysia.

Balia berkata, perjanjian menamatkan permusuhan itu ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 1989 itu sendiri menunjukkan wujudnya perjuangan bersenjata antara kerajaan dan kumpulan itu.

Malah, beliau juga menerima alasan Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh bahawa saman fitnah difailkan Chin Peng atas kapasiti dirinya dan anggota PKM adalah satu fitnah dan bukan saman kemungkiran kontrak seperti yang didakwa.

Chin Peng, 85, yang dilahirkan sebagai Ong Boon Hua memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM pada Jun 2005 bagi menuntut kerugian dan menghalang kerajaan Malaysia atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Perjanjian Damai 1989 serta persetujuan ditandatanganinya di Haadyai, Thailand, masih sah.

Tiada ulasan: