Rabu, 21 Oktober 2009

Jabatan Pelancongan Negeri ganti MPTN

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Semua Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) akan dibubarkan pada 31 Disember ini dan digantikan dengan Jabatan Pelancongan Negeri yang akan diwujudkan mulai tahun depan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, tindakan pembubaran itu dilakukan kerana MTPN didapati kurang berkesan dalam mencapai matlamat penubuhannya.

Beliau berkata, MTPN sepatutnya membantu kementerian memajukan sektor pelancongan di negeri-negeri namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

''Jabatan Pelancongan Negeri akan ditubuhkan pada tahun depan agar pihak kementerian boleh berurusan secara langsung untuk membangunkan industri pelancongan di peringkat negeri,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Menaik Taraf Kereta Api Bukit Bendera di sini hari ini.

Yen Yen juga berkata, pembubaran MTPN sepatutnya sudah dilakukan pada Jun lalu namun dilanjutkan hingga akhir tahun ini, demi menjaga kebajikan para pekerja.

Beliau berkata, para pekerja yang ketika ini berkhidmat dengan MTPN diberi keutamaan untuk diserap ke Jabatan Pelancongan Negeri.

Tiada ulasan: