Rabu, 2 Januari 2019

'PRK Cameron Highlands rompakan siang hari PH'

MALAYSIAKINI

   

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan di atas "padang yang tidak rata' dan mendakwa Pakatan Harapan (PH) melakukan "rompakan siang hari" dalam PRK berkenaan.

Annuar berkata demikian sebagai membalas ciapan veteran DAP Lim Kit Siang, yang berkata adalah satu "keajaiban" jika PH menang dalam PRK itu.

"Keajaiban? Dengan tangan pembangkang diikat, akaun dibekukan, penyandang hilang kelayakan bertanding, pengerusi SPR yang dilantik secara politik, jentera kerajaan yang boleh diguna PH, dan jutaan 'sumbangan politik'.

"Tidak mungkin itu dipanggil keajaiban, itu adalah rompakan siang hari," kata Annuar.

Keluhan yang dibangkitkan anggota parlimen Ketereh itu, serupa dengan keluhan yang sering didengar daripada anggota parlimen PH ketika BN menerajui kerajaan.

Lim, dalam ucapan tahun baru berkata, DAP bukan calon pilihan dalam PRK Cameron Highlands.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia kini berada di "era keajaiban" sejak PH menamatkan 61 tahun pentadbiran Umno.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi itu dikosongkan selepas mendapati berlaku pembelian undi yang memberi kemenangan kepada Naib Presiden MIC C Sivarraajh pada PRU ke-14.

Selepas MIC tidak membuat rayuan keputusan itu, SPR mengumumkan pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 26 Jan.

Minggu lalu, SPR mengisytiharkan Sivarraajh tidak layak bertanding semula atau pun mengundi dalam tempoh lima tahun.

Pada PRU ke-13, Sivarrajh menang tipis di kerusi itu dalam pertembungan lima penjuru selepas meraih 10,307 undi, iaitu 579 majoriti undi berbanding pencabar terdekatnya, calon PH M Manogaran.


Tiada ulasan: