Jumaat, 22 September 2017

Sokongan Gereja Terhadap Pakatan Harapan – Dr Kamarul






Hakikat bahawa gereja di Malaysia mula memainkan peranan yang aktif dalam politik sejak Pilihan Raya Umum 2008 adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan.

Di dalam sebuah buku yang diedit oleh seorang pemimpin muda DAP bernama Joshua Woo bertajuk “The Gospel, Sociopolity, and Malaysian Society” umpamanya ada tertulis jelas fakta ini:

“Sejak Pilihan Raya Umum 2008, evangelicals di Malaysia telah mengambil penglibatan politik sebagai satu bahagian penting misi mereka sementara masih komited kepada penekanan tradisi ke atas sembahyang dan evangelism. Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia semua segmen gereja di Malaysia sekarang sudah menjadi komited kepada penglibatan politik”.

Anekdot-anekdot yang terdapat di dalam buku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, bertajuk “The Long Awakening” dan buku Naib Ketua Wanita DAP Kebangsaan dan Naib Pengerusi DAP Selangor, Hannah Yeoh, bertajuk “Becoming Hannah” mengenai Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013 di Sarawak dan Selangor juga menjadi bukti mengenai penglibatan politik gereja di Malaysia.

Malah, buku Baru Bian dan buku Hannah Yeoh yang memperkatakan mengenai usaha Kristianisasi melalui bidang politik itu sendiri adalah dilancarkan di sebuah gereja bernama City Discipleship Presbyterian Church di Subang Jaya, Selangor, pada 24 Ogos 2014.

Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum 2008, banyak usaha dibuat oleh pemuka agama Kristian di Malaysia untuk meningkatkan lagi penglibatan politik gereja ini. Antaranya ialah penerbitan sebuah buku yang diedit bersama oleh Joshua Woo dan Rev Dr Tan Soo Inn bertajuk “The Bible and the Ballot: Reflections on Christian Political Engagement in Malaysia”.

Buku yang memuatkan kata-kata aluan Rt Rev Datuk Ng Moon Hing ini mengandungi tulisan beberapa pemuka Kristian, iaitu Joshua Woo, Dr Alwyn Lau, Dr Christopher Chong, Rev Dr Tan Soo Inn, Rama Ramanathan dan Rev Dr Sivin Kit.

Selain Joshua Woo, yang kerap kali menulis atas nama DAP, dan Dr Christopher Chong, yang menghasilkan tesis PhD bertajuk “Modernity, State-Led Islamisation And The Non-Muslim Response: A Case Study Of Christians In Peninsular Malaysia” di Universiti Sains Malaysia pada 2010, Dr Alwyn Lau, yang menghasilkan tesis PhD bertajuk “Intimating The Unconscious: Politics, Psychoanalysis And Theology In Malaysia” di Monash University Malaysia pada 2017, dan Rev Dr Sivin Kit, yang menghasilkan tesis PhD bertajuk “Transforming Solidarity: Social Discourses Around The ‘Allah’ Controversy In Malaysian New Media (2007-2014)” di University of Agder, Norway, pada 2014, adalah prolifik.

Di dalam satu tulisan beliau menjelang Pilihan Raya Umum 2013, iaitu pada 26 April 2012, Dr Alwyn Lau menulis mengenai betapa, walaupun tidak menyebut secara terus di mimbar, para paderi di Malaysia telah menunjukkan secara sangat jelas parti politik mana yang mereka sokong, di mana link Facebook dan perbualan mereka menjadi petunjuk siapa penganut Kristian patut undi.

Kata Dr Alwyn Lau, mereka, melalui tindakan, aktiviti maya, perbualan, dan lain-lain, sudah memaklumkan jemaah mereka (their congregation) siapa yang patut diundi. Penegasan ini beliau ulangi lagi dalam satu tulisan terbaru beliau pada 27 Mac lalu dengan menyebut betapa ramai paderi di Malaysia yang sudah berbuat demikian.

Rev Dr Sivin Kit pula, selain menampakkan keakraban beliau dengan Hannah Yeoh dengan di antara lainnya pernah mewarwarkan pelancaran buku Hannah Yeoh, mengakui secara terbuka pada 2 Ogos 2012 bahawa beliau dan ramai lagi pemimpin Kristian sangat terlibat aktif dalam politik pada Pilihan Raya Umum 2008. Rev Dr Sivin Kit juga bersetuju bahawa penganut Kristian, khasnya di Semenanjung Malaysia, anti Barisan dan akan mengundi Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2013, sambil menyebut mengenai bahan sembahyang mereka (their prayer items) bercakap mengenai perubahan (praying for change) dan mengenai pertambahan bilangan mereka yang terlibat di dalam Himpunan Bersih, termasuk paderi (pastors, with their acolytes or priests or nuns).

Berdasarkan kepada tulisan dan pengakuan oleh Dr Alwyn Lau dan Rev Dr Sivin Kit ini, selain oleh pemimpin gereja lain, serta berdasarkan kepada ruang luas yang diberikan oleh pihak gereja terhadap aktiviti politik pemimpin Kristian Pakatan, khususnya dari DAP, tetapi juga dari PKR, maka sangatlah pelik bila Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC), Pastor Melter Jiki Tais, menyatakan bahawa gereja adalah bersifat non-partisan.

Mengapa agaknya sampai sekarang tulisan seorang bekas wartawan The Times bernama Matt George mengenai betapa gereja berkempen untuk memenangkan Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2013 bertajuk “Churches Campaign Ahead Of Malaysia Elections” tidak pernah dinafikan?

Usahlah hendak dinafikan sokongan gereja kepada Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013 ini. Itu dalam keadaan gereja berbelah-bagi dengan keberadaan PAS dalam Pakatan sokongan begitu sudah diberikan, sekarang bila PAS sudah tiada dalam Pakatan maka tentulah akan bertambah meluas lagi sokongan gereja kepada Pakatan.

Tahniah kepada PAS kerana bertindak tepat dan tegas memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR sebaik sahaja belang sebenar golongan ini terhadap Islam terserlah.

Saya yakin sokongan terhadap PAS tidak akan berkurangan ekoran tindakannya ini kerana Allah pasti menolong dan meneguhkan kedudukan orang yang menolong agama-Nya.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: