Selasa, 27 Oktober 2009

Mayat pelajar universiti AS dibawa pulang

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Mayat mendiang Lim Boon Jim (gambar), 18, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Universiti Cornell, New York, Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia secara mengejut Isnin lalu, selamat tiba ke tanah air hari ini.

Mayatnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 12.15 tengah hari dan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis.

Jamaludin turut mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Boon Jim.

"Perdana Menteri menzahirkan rasa simpati dan salam takziah kepada ibu bapa beliau kerana pertamanya, Lim adalah anak pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kedua dia pelajar yang bijak serta mendapat biasiswa JPA," katanya ketika ditemui di KLIA hari ini.

Jamaludin turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM10,000 hasil derma bekas pelajar Malaysia di AS kepada keluarga mangsa.

Mayat Boon Jim kini ditempatkan di Pusat Xiao En Bereavement Care di Jalan Kuari, Cheras di sini untuk upacara keagamaan dan memberi peluang kepada sanak-saudara serta rakan-rakannya memberi penghormatan terakhir, sebelum disemadikan di Shah Alam Memorial Park esok.

Bapanya, Asisten Supritendan Lim Ken Ang, seorang pegawai polis di Bukit Aman ketika ditemui di Pusat Xiao En hari ini berkata, kematian Boon Jim, anak bongsu daripada empat beradik amat mengejutkan kerana dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

"Kami sekeluarga masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa Boon Jim sudah pergi selama-lamanya," katanya ditemani isterinya, Deputi Supritendan Lee Nee Ang yang juga bertugas di Bukit Aman.

Ken Ang memberitahu, sebelum berlepas ke Amerika Syarikat, Boon Jim berazam mendapatkan dua ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan untuk tempoh empat tahun di universiti tersebut.

Katanya, mendiang juga berhasrat untuk pulang berkhidmat di negara ini setelah menamatkan pengajian.

Katanya lagi, Boon Jim sebelum itu ditawarkan dua biasiswa daripada JPA dan Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan kecemerlangan meraih 12 A1 dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun lalu, namun akhirnya memilih untuk ke Universiti Cornell.

"Boon Jim ialah seorang yang sentiasa ingin menjadi terbaik dan dia bekerja keras untuk mencapainya. Dia tidak sekadar cemerlang dalam akademik tetapi juga banyak mewakili sekolahnya dalam pertandingan debat, catur, kuiz di peringkat negeri dan kebangsaan," jelas Ken Ang.

Ditanya punca kematian Boon Jim, Ken Ang sekadar memberitahu kematian anaknya itu sebagai kematian biasa dan enggan mengulas lanjut.

Akhbar tempatan The Cornell Daily Sun melaporkan, Boon Jim ditemui mati di atas katil dalam bilik asrama oleh penasihat asrama pada Isnin lalu.

Bau busuk yang keluar dari biliknya telah membawa kepada penemuan mayatnya setelah dikatakan kali terakhir dilihat pada 15 Oktober lalu.

Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 3.55 pagi. Jabatan Polis Universiti Cornell menolak unsur jenayah dalam kematian Boon Jim.

Rakan-rakan universiti yang terkejut dengan kematian Boon Jim menyifatkan mendiang sebagai seorang baik hati, peramah serta periang.

"Saya tidak ingin menerimanya (kematian Boon Jim). Saya tidak dapat membayangkan ketiadaan Boon Jim dan tidak mendengar gelak ketawanya," kata Oscar Coaquira, yang mengenali Boon Jim ketika orientasi.

Tiada ulasan: