PETALING JAYA: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakon menyifatkan wartawan wira yang tidak didendang ketika negara dan dunia dilanda Covid-19, dengan menyediakan dan menyalurkan maklumat berkaitan pandemik kepada masyarakat.
Beliau berkata, wartawan sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri berdepan wabak berkenaan demi melaksanakan tugas.
“Kesemuanya itu dilakukan wartawan bagi memastikan rakyat yang terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat maklumat dan mampu mengikuti perkembangan semasa tanah air serta luar negara.
“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media Covid-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari,” katanya menurut laporan Bernama, ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021.
Bagi menghargai sumbangan besar wartawan kepada negara, beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada wartawan yang menjadi sebahagian petugas barisan hadapan sewaktu pandemik ini.
Katanya lagi, tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita panas dan hangat tentang politik, berita kemalangan, malapetaka, tragedi atau sensasi sukan dan hiburan, malah mampu menjadi mata serta telinga dalam membantu kerajaan memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.
“Pastinya media yang bebas dan terbuka, serta bertanggungjawab adalah mekanisme semak dan imbang yang menjadi teras konsep Keluarga Malaysia. Peranan media hendaklah senantiasa dimantapkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan