SHAH ALAM: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), syarikat milik penuh kerajaan Selangor menjangkakan akan menyelesaikan masalah sampah pukal pasca banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, dalam tempoh seminggu.
Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud, berkata sehubungan itu, penduduk diharap bersabar dan bekerjasama bagi melancarkan operasi pungutan sampah dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Bumi Segar Indah Sdn Bhd itu.
"Kita akan pastikan setiap kawasan yang kita masuk itu (untuk kutipan sampah), kita selesaikan satu persatu dan berharap (penduduk) bersabar.
"Sejak Rabu lalu, kita sudah kutip 400 tan sampah dan Khamis sebanyak 800 tan. Kita mengharapkan pemindahan sampah dari Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21 ke Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Kuala Selangor dalam masa seminggu," katanya selepas meninjau Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, hari ini.
Ahmad Rizal berkata Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21 seluas 4.24 hektar adalah tempat pengumpulan sampah sementara dari Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya yang mempunyai 300 kakitangan termasuk pemandu lori, pengendali sampah dan pengawal trafik.
Beliau berkata KDEBWM memiliki 500 tong roro, 110 lori termasuk dua lori 44 tan dan lapan lori 10 tan serta akan menambah lima lori 44 tan dalam masa terdekat untuk membawa sampah ke Jeram.
"Kerjasama daripada semua pihak amat penting supaya dapat mepercepatkan pengumpulan sampah-sampah dari kawasan terjejas banjir supaya lori boleh membuat pusingan kutipan lebih kerap," katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan