KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkaitan tarikh tutup bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir.
NADMA dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan FAQ (soalan lazim) yang dirujuk oleh Hannah mengenai perkara itu adalah garis panduan lama.
"Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua kerajaan negeri.
"Dakwaan Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal," menurut kenyataan itu.
Pada 21 Disember lalu, Ismail Sabri memutuskan bahawa semua KIR yang terkesan akibat banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.
Sebelum ini, kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam musim tempoh bencana telah diisytiharkan.
Namun, atas keprihatinan Perdana Menteri, kini BWI boleh dituntut setiap kali bencana menimpa, tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Sementara itu, NADMA menyatakan hingga hari ini sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama telah disalurkan kepada 11 negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan.
Tambahan akan diberikan mengikut keperluan, menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan