Bernama
PRN
Sarawak sebelum ini tidak dapat diadakan sebaik tempoh DUN berakhir 6
Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara oleh Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dari 11 Jan hingga 1 Ogos. - Gambar
fail
KUCHING:
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula esok dengan proses
penamaan calon di 82 pusat penamaan calon (PPC) seluruh negeri bermula
pukul 9 pagi.
Tidak seperti sebelum ini,
PRN ke-12 ini diadakan dalam suasana berbeza susulan pandemik COVID-19
iaitu setakat ini hanya Sarawak dan Kelantan masih berada di Fasa Tiga
Pelan Pemulihan Negara, manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke
Fasa Empat.
Bagi
mengurangkan risiko penularan COVID-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon atau
mana-mana dua orang daripada mereka dibenarkan masuk ke PPC bagi
mengemukakan kertas pencalonan calon.
Penyokong
parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu
juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon
bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan
calon.
Bakal calon pula diberi tempoh
sejam untuk mengemukakan borang pencalonan dan bagi memudahkan proses
penamaan calon, bakal-bakal calon diseru agar mengisi dan membuat
semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus
atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Calon-calon
dan parti politik diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh
mengundi pada 18 Dis sepertimana ditetapkan SPR.
Undi awal pula ditetapkan pada 14 Dis.
Prosedur operasi standard untuk proses berkempen bagaimanapun sehingga hari ini belum diumumkan.
PRN
Sarawak sebelum ini tidak dapat diadakan sebaik tempoh Dewan Undangan
Negeri (DUN) berakhir 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di
seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari 11 Jan sehingga 1 Ogos bagi
mengekang penularan COVID-19.
Apabila
darurat di seluruh negara berakhir, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi
mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022.
Darurat
ini ditarik balik pada 3 Nov yang menyaksikan DUN Sarawak terbubar
secara automatik dan memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak
dilaksanakan SPR.
Sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan dan setakat semalam, jurucakap SPR memaklumkan 1,268 borang penamaan calon telah terjual.
PRN
kali ini akan menyaksikan seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi
terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan
pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak
Hadir (PTH) Luar Negara.
Keseluruhan
jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat
mengundi/saluran dan seramai 46,565 individu dilantik bagi mengendalikan
PRN Sarawak.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan