Isnin, 6 Disember 2021

Hotel tiga bintang di Tasik Kenyir siap tahun depan

BH ONLINE
Pengunjung menyusuri Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berlatar belakang Jambatan Pulau Poh yang menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.
Pengunjung menyusuri Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berlatar belakang Jambatan Pulau Poh yang menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.

KUALA TERENGGANU: Industri pelancongan di Tasik Kenyir dijangka bertambah rancak pada tahun hadapan dengan siapnya hotel bertaraf tiga bintang di Pulau Poh.

Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata pembinaan hotel lapan tingkat dengan 100 bilik itu, sudah mencapai lebih 90 peratus dan dijangka dibuka kepada pelancong pada suku kedua tahun hadapan.

"Kita sedang siapkan dokumen permohonan bidaan (RFB) untuk beberapa syarikat yang berminat untuk masuk menguruskan hotel ini.

"Kita mahu mencari pengusaha yang memiliki reputasi dan nama besar dalam industri berkaitan kerana tidak mahu berlaku masalah di kemudian hari," katanya di sini, hari ini.

Selain hotel, beliau berkata, pihaknya turut memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja pembaikan taman tema air berdekatan hotel tersebut, yang dijadualkan bermula tahun depan.

Katanya, taman tema itu sebelum ini beroperasi dan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), tetapi terpaksa ditutup atas beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita akan naik taraf sedikit taman tema ini.. mungkin mengambil idea daripada Taman Tema Sunway Lagoon, sebagai daya tarikan baharu ke Kenyir yang sebelum ini banyak bergantung pada rumah bot.

"Kalau boleh kita mahu taman tema ini dikendalikan di bawah pengusaha sama dengan hotel, tetapi perlu keluarkan dokumen RFB dahulu dan lihat macam mana perkembangannya," katanya.

Hotel di Pulau Poh, yang mula dibina pada 2017 itu, adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir dan turut dilengkapi kemudahan lain seperti jeti kargo dan Jambatan Ikonik yang sudah dibuka kepada orang ramai. – BERNAMA

Tiada ulasan: