Selasa, 7 Disember 2021

Penduduk gempar ada buaya dalam tasik

Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI
 
Penemuan seekor buaya dianggarkan sepanjang tujuh meter di sebuah tasik menggemparkan penduduk di Kampung Ahmad Razali Tambahan, Dengkil hari ini.- Foto IHSAN PENDUDUK

SEPANG – Penemuan seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter di dalam sebuah tasik menggemparkan penduduk di sekitar kawasan Kampung Ahmad Razali Tambahan, Dengkil di sini hari ini

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Dengkil, Sahadan Ahmadon berkata, dia telah dimaklumkan mengenai penemuan reptilia tersebut daripada penduduk yang menetap di kawasan sekitar tasik berkenaan.

“Sebelum ini pernah beberapa penduduk mendakwa terlihat buaya di kawasan tersebut namun kali ini beberapa orang pekerja warga asing yang melalui kawasan berkenaan telah terserempak dan berhadapan dengan reptilia itu.

“Susulan penemuan tersebut, pihak kami segera membuat panggilan kepada pihak bomba untuk tindakan selanjutnya demi menjaga keselamatan semua penduduk dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada penduduk kampung kira-kira pukul 8.29 malam sebelum bergegas ke lokasi penemuan haiwan reptilia tersebut.

“Sebaik sampai dilokasi, anggota dan pegawai bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya terus melakukan pemantauan dan didapati benar kejadian terserempak dengan haiwan liar itu seperti yang dilaporkan.

“Berdasarkan maklumat daripada penduduk, telah kelihatan seekor buaya dewasa berukuran dianggarkan sepanjang 2.1 meter di dalam tasik yang dipercayai telah tersesat dari sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pasukan bomba tidak melakukan sebarang kerja-kerja penangkapan buaya sebaliknya telah memasang sawar-sawar serta menampal tanda amaran bahawa terdapatnya buaya di dalam tasik berkenaan.

“Penduduk setempat juga dinasihati agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di dalam atau berhampiran tasik tersebut atas sebab-sebab keselamatan.

“Operasi seterusnya diserahkan kepada Pejabat Perhilitan Hulu Langat bagi tindakan lanjut,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tiada ulasan: