Sabtu, 4 Disember 2021

Hasrat pengawal keselamatan nak pakai Harrier dan Civic musnah kerana kena scam

KERETA Toyota Harrier dan Honda Civic. - Gambar hiasan

SIAPA yang tidak ingin memiliki kereta mewah yang menjadi idaman untuk membawa keluarga berjalan-jalan. Apatah lagi bila mengetahui harga kereta yang hendak dibeli itu dijual sangat murah.

Bagaimanapun seperti biasa, jika sesuatu barang mahal yang ditawarkan dengan harga tersangat murah, sudah tentu ada cerita di sebaliknya yang akhirnya akan mengecewakan kita sebagai pembeli.

Keadaan tersebutlah yang berlaku terhadap seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah yang ingin memiliki dua kereta idaman tetapi akhirnya menjadi mangsa scammer atau penipuan yang menyebabkan rugi sebanyak RM12,240.

Mangsa berusia 46 tahun berhasrat membeli dua kereta terpakai jenama Toyota Harrier dan Honda Civic selepas melihat iklan di Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu apabila mangsa terlihat iklan jual beli kereta terpakai di FB Auto Export Sg Scrap Car dan berurusan melalui Whatsapp dengan pihak berkenaan.

Mohd Wazir berkata, mangsa bersetuju untuk membeli secara ansuran kereta Toyota Harrier 2.0 Premium Sunroof Black 2015 dengan harga RM24,000 dan Honda Civic dengan harga RM17,000.

“Mangsa membuat 10 kali pembayaran bagi tujuan deposit pinjaman, insurans, duti kastam, cukai jalan dan proses pertukaran nama untuk dua kereta terbabit berjumlah RM12,240.

“Semua pembayaran dibuat ke lima akaun berbeza diberikan suspek dan mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek terus meminta wang daripadanya tetapi kereta yang dibeli tidak juga diperoleh,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam dan kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UtusanTV

Tiada ulasan: