Sabtu, 4 Disember 2021

‘3 penasihat PM, mana cukup’ – Tun M sindir Ismail Sabri

MALAYSIA POST

‘3 penasihat PM, mana cukup’ – Tun M sindir Ismail Sabri

TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini secara sinis ‘menasihati’ Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik lebih ramai penasihat di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, tiga penasihat untuk Perdana tidak cukup, dan sepatutnya Ismail Sabri perlu melantik lebih ramai lagi individu bagi jawatan itu.

“Patut ada banyak lagi (penasihat PM). Mana cukup tiga,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan buku ‘Speaking of Mass Destruction…A Journey to Iraq seen by Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memaklumkan Ismail Sabri akan mendapat seorang lagi penasihat khas yang bertanggungjawab menasihati beliau dalam bidang kesihatan dan akan dilantik dalam masa terdekat.

Penasihat khas itu kini sedang dalam proses lantikan yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, parti Pejuang tidak akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 12 pada 18 Disember depan.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana Pejuang akan menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Pejuang tidak akan bertanding di Sarawak dan hanya akan bertanding di PRU-15. Tidak (kempen) dan kita tidak terlibat sama macam PRN Melaka,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: