Ahad, 5 Disember 2021

Budak 10 tahun dikhuatiri dibaham buaya

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mandi bersama beberapa rakannya di Kampung Sinakut, FELDA Sahabat 16, di sini, hari ini.

Kejadian itu dilaporkan pada jam 7.18 malam dan sehingga kini mangsa belum ditemui pasukan penyelamat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, lokasi kejadian terletak 100 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu.

"Menurut pemanggil terdapat seorang mangsa hilang di laut ketika mandi dan rakan mangsa mengatakan mangsa dipercayai dibaham buaya.

"Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan bagaimanapun mangsa belum ditemui," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, maklumat terkini berhubung kejadian itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: