KUALA KRAI: Kedudukannya yang terletak hanya kira-kira 100 meter (m) dari Sungai Kuala Pertang menyebabkan Masjid Mukim Chenulang, di sini, sering dilanda banjir akibat limpahan air sungai pada setiap musim tengkujuh.
Siak Masjid Mukim Chenulang, Mohd Adnan Mat Husin, 53, berkata apabila musim tengkujuh melanda dan hujan berterusan, bahagian bawah bangunan masjid dua tingkat itu akan ditenggelami air hingga mencecah paras peha.
Justeru, beliau berkata, ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu lazim membuat persediaan dari seawal Oktober yang dianggap permulaan musim tengkujuh.
"AJK akan bergotong-royong memindahkan semua barang di tingkat bawah, terutama karpet, ke tingkat atas supaya tidak rosak akibat banjir.
"Kami juga akan memeriksa penyembur air dan beberapa peralatan lain sebagai persiapan awal untuk melakukan kerja pembersihan termasuk mencuci lumpur, apabila air mulai surut.
"Jika lumpur tebal dan sukar dibersihkan, kami akan meminta bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membersihkan masjid ini sebelum ia dapat digunakan semula seperti biasa," katanya ketika ditemui di pekarangan masjid itu, hari ini.
Mohd Adnan berkata, hujan lebat beberapa hari lalu turut menyebabkan air sungai melimpah hingga ke kawasan masjid berkenaan.
"Bagaimanapun, air surut sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi semalam dan kerja pembersihan dilakukan hari ini," katanya.
Beliau memaklumkan, Masjid Mukim Chenulang menjadi 'penanda aras' banjir selepas bencana Bah Kuning pada 2014 berikutan pernah hampir 80 peratus bangunannya ditenggelami air.
Katanya, masjid itu boleh memuatkan lebih 300 jemaah untuk menunaikan
solat Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu, pada satu-satu masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan