KAPIT: Longgokan sisa kayu balak di Sungai Baleh sejak semalam, menjadi mimpi ngeri penduduk di sepanjang sungai berkenaan kerana sekali lagi berdepan kejadian seperti 10 tahun lalu.
Sejak semalam, longgokan kayu balak mengalir ke hilir sungai sehingga hilir Sungai Batang Rajang termasuk Bahagian Kapit.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata kejadian sisa balak hanyut itu bukan sahaja menjejaskan penduduk tetapi turut membunuh pelbagai spesies hidupan termasuk ikan di sepanjang Sungai Baleh dan Sungai Batang Rajang.
"Sungai Baleh adalah cabang Sungai Batang Rajang dan apa yang berlaku ini sama dengan insiden 10 tahun lalu.
"Waktu itu, sisa kayu balak memenuhi Sungai Baleh dan menjejaskan penduduk serta ekosistem sepanjang sungai," katanya di sini, hari ini.
Justeru, Masing mengarahkan lesen balak di kawasan Sungai Baleh ditarik balik dan tidak wajar diperbaharui kerana mendatangkan kesan buruk buat alam sekitar.
Katanya, Sungai Baleh adalah nadi kehidupan penduduk di sepanjang sungai berkenaan.
Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa longgokan sisa balak itu akan menjejaskan tapak binaan Hidroelektrik Baleh yang giat dilaksanakan.
"Aktiviti pembalakan tanpa kawalan ini memberi kesan cukup besar terhadap ekosistem di Sungai Baleh dan Sungai Batang Rajang," katanya.
Dalam kejadian pada 2010, hulu Sungai Melatai di Sungai Baleh mengalami 'tsunami balak' susulan pembalakan tanpa kawalan yang menyebabkan sisa kayu balak hanyut ke hilir sungai selepas hujan lebat.
No comments:
Post a Comment