Monday, August 23, 2021

Ditetak ketika cari pencuri burung Murai Cerek

 Oleh Nor Amalina Alias

Seorang lelaki cedera parah ditetak menggunakan sebilah pedang dan golok dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang, Bachok. - Foto ihsan Polis  

Seorang lelaki cedera parah ditetak menggunakan sebilah pedang dan golok dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang, Bachok. - Foto ihsan Polis

BACHOK: Seorang lelaki parah ditetak tiga lelaki ketika cuba mencari pencuri burung miliknya dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini, hari ini.

Mangsa berusia 42 tahun itu dilaporkan putus ibu jari tangan kanan, luka di kepala, betis kanan dan lutut kiri.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.35 petang menerusi panggilan kecemasan MERS 999.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa cedera diserang tiga lelaki.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya cuba mencari seorang lelaki yang didakwa mencuri burung jenis Murai Cerek miliknya.

"Individu yang dicari dikatakan berada di rumah seorang lelaki tetapi didapati tiada di situ.

"Mangsa dilapor bertengkar dengan lelaki berkenaan sebelum suspek bersama dua lagi rakannya menyerang mangsa menggunakan sebilah golok dan sebilah pedang.

"Pergaduhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, polis giat mengesan identiti ketiga-tiga suspek yang kini dikategorikan sebagai orang dikehendaki.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments: