Monday, August 2, 2021

Pembangkang ‘kayangan’ tak endah nasihat KKM, Covid-19 menular di Parlimen


Ujian saringan Covid-19 dilakukan di Parlimen pada Jumaat. - Gambar Facebook

Kumpulan kayangan blok pembangkang yang tidak mengendahkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi punca penularan Covid-19 di Parlimen sehingga ia terpaksa ditangguhkan selepas lebih 40 kes baharu dikesan sepanjang seminggu sidang Dewan Rakyat berjalan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.

“Jika di tempat lain, apabila jumlah kes positif dikesan melebihi 40, kawasan itu sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami ini ‘kayangan’ ada imuniti dan kekebalan.

“Sepatutnya persidangan tidak boleh dijalankan. Tetapi kebenaran khas diberikan dengan mengurangkan bilangan seramai 80 orang yang boleh berada dalam dewan serta memendekkan perbahasan bagi mengelakkan berlaku penularan,” katanya lapor Bernama semasa sidang media hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Ketua Kampung Charuk Puting, Batu Bor, Guai dan Paya Mengkuang di perkarangan Masjid Al-Mutaqin, Cheruk Puting.

Pada majlis itu, sebanyak 19,372 bakul makanan telah disampaikan di kawasan Bera termasuk semua penduduk kawasan yang dikenakan PKPD.

Jelasnya lagi, Noor Hisham sudah menasihati supaya sidang ditangguhkan sebelum dan mengurangkan masa perbahasan tetapi malangnya ia tidak diendahkan pemimpin pembangkang yang mahu sidang penuh diadakan.

“Sebenarnya, sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula, kita sudah mengadakan mesyuarat dihadiri Speaker dan wakil pembangkang.

“Ketika mesyuarat itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah memberikan dua cadangan iaitu menangguhkan persidangan dan mengurangkan masa perbahasan serta jumlah kehadiran ahli Parlimen dikurangkan,” katanya.

Langkah menangguhkan Sidang Khas Dewan Rakyat tersebut menurut Ismail Sabri berdasarkan fakta sains dan tidak ada kena mengena dengan isu politik.

“Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berdasarkan fakta sains dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), bukan isu politik,” katanya lagi.

No comments: