Monday, August 2, 2021

Kedah rekod lonjakan kes Covid-19 lima hari berturut-turut


Data kes baharu Covid-19 dalam tempoh 28 Julai hingga 1 Ogos.

Kedah menjadi satu-satunya negeri yang merekodkan kenaikan kes harian Covid-19 lima hari berturut-turut sejak 28 Julai lalu, menurut jumlah dikumpul daripada data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) selama enam hari bermula 27 Julai 2021.

Menurut data itu Perlis pula merekodkan kenaikan kes harian empat hari berturut-turut sejak 29 Julai.

Pada Rabu, 27 Julai 2021, Kedah merekodkan 1,000 kes baharu setelah sehari sebelumnya mencatatkan 1,161 kes. Bagaimanapun, kes baharu mula melonjak pada 28 Julai apabila merekodkan 1,112 kes baharu.

Lonjakan itu berterusan pada 29 Julai sebanyak 1,212 kes; 30 Julai (1,281 kes); dan 31 Julai (1,389 kes).

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Kedah sekali lagi merekodkan kenaikan jangkitan Covid-19 sebanyak 1,511 kes, menjadikan kumulatif 47,142 kes dengan 12,530 kes masih aktif.

Majoriti kes yang dilaporkan di negeri itu membabitkan dua daerah – Kulim dan Kuala Muda.

Hari ini daerah Kulim merekodkan 431 kes baharu, diikuti Kuala Muda sebanyak 396 kes. Daerah lain Baling (157 kes); Kota Setar (132 kes); Kubang Pasu (116 kes); Langkawi (109 kes); Pendang (84 kes); Yan (33 kes); Sik (32 kes); Padang Terap (15 kes); dan Bandar Baharu (6 kes).

Pada masa sama, Jabatan Kesihatan Kedah merekodkan 18 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19 sepanjang tempoh 25 hingga 31 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata 18 kes BID itu termasuk 31 kes kematian akibat virus berkenaan di negara ini bagi tempoh sama.

Beliau berkata, kes itu berkemungkinan berlaku kerana pesakit lewat mendapatkan rawatan atau tiada gejala dijangkiti Covid-19.

“Situasi ini amat membimbangkan, apatah lagi dengan kehadiran varian Beta dan Delta yang cepat merebak dan lebih teruk.

“Varian ini bukan saja membahayakan golongan warga emas dan berisiko tinggi, malah juga golongan muda berusia bawah 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, bagi tempoh sama sebanyak 8,370 kes baharu COVID-19 dilaporkan dengan 4,170 kes membabitkan saringan kontak rapat dan 1,795 kes adalah kes dalam kluster yang aktif.

“Setakat ini masih terdapat kira-kira 20 peratus penduduk di negeri ini yang layak menerima vaksin belum mendaftar untuk menerima suntikan.

“Sehingga semalam, seramai 577,148 daripada lebih 1.54 juta individu dewasa berusia 18 tahun ke atas sudah mendapatkan satu dos vaksin, manakala 298,611 lagi lengkap dua dos suntikan.

“Dijangkakan pada hujung bulan ini kira-kira 40 peratus penduduk Kedah yang layak divaksin akan menerima vaksin lengkap,” katanya.

Sementara di Perlis pula, kes baharu mula meningkat pada 29 Julai apabila mencatatkan 10 jangkitan berbanding tiga kes pada 28 Julai. Pada 30 Julai, kes mula meningkat kepada 10 jangkitan; 31 Julai (16 kes); dan 1 Ogos (21 kes).

Pulau Pinang pula merekodkan kenaikan kes tiga hari berturut-turut mulai 30 Julai apabila merekodkan 689 kes baharu, diikuti 713 kes pada 31 Julai dan meningkat kepada 752 kes hari ini (1 Ogos).

Berdasarkan data itu juga tidak ada negeri yang merekodkan penurunan kes empat atau lima hari berturut-turut.

Negara hari ini mencatatkan 17,150 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 1,130,422 kes.

Lembah Klang terus merekodkan kes harian tertinggi dengan Selangor mencatatkan 6,326 kes dan Kuala Lumpur 2,086 kes.

No comments: