Monday, August 23, 2021

“Alhamdulillah, macam Ebit Lew tolong orang” – Sherie Merlies sudah dibantu

Oleh ZULQARNAIN ABU HASSAN

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sherie Merlis menzahirkan jutaan terima kasih kepada rakannya Datuk Fizz Fairuz termasuk Nafidz Razak dan isteri serta Megaklinik Zahran kerana sudah menghulurkan bantuan dengan kadar segera selepas hebahan dibuat di media sosial.

Menurut Sherie, adiknya sudah dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Royal Chulan, Kuala Lumpur untuk tempoh 10 hari selepas menjalani ujian calitan, sementelah ahli keluarga lain termasuk dirinya menjalani kuarantin kendiri di rumah sahaja.

“Terima kasih sangat-sangat abang long dan kak long serta pasukan Megaklinik Zahran. Tidak lupa juga kawan saya Datuk Fizz Fairuz. Allah sahaja yang dapat balas jasa baik awak, abah saya pun ucapkan sama.

“Ini macam betul-betul Ebit Lew tolong orang, pergi dan terus tolong. Itulah, saya memang tidak minta lebih, kuarantinkan adik saya saja. Pasukan cepat buat kerja, Alhamdulillah kerana niat mereka mungkin.

“Semuanya dipermudahkan dan dilancarkan. Hati saya pun tenang tengok adik pergi, sekurang-kurangnya dia tidak akan dijangkiti daripada kami yang lain-lain,” ujarnya dengan tenang.

Dalam hantaran perkongsian video dimuat naik oleh Sherie berdurasi empat minit, dia tidak menyangka bahawa pendedahan untuk mendapatkan bantuan didengari dan segalanya berlaku dalam sekelip mata.

“Saya ingat tiada yang ambil berat, cuma nak tahu saja ke mana saya boleh mendapatkan rujukan. Alhamdulillah terima kasih sangat-sangat dan kepada siapa yang menghubungi saya nanti saya akan baca dan balas, tunggu saya tenang,” ujarnya.

No comments: