Selasa, 13 April 2021

SPRM tidak lagi berkecuali, bebas, kata Guan Eng

Lim berkata, sekiranya SPRM gagal menjalankan tugas secara profesional 
dan bertanggungjawab, kedudukan negara dalam CPI Transparency 
International akan terus merosot.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dilihat sebagai badan yang tidak berkecuali, bebas dan profesional dalam memerangi rasuah di peringkat tertinggi, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Dengan menyenaraikan beberapa kes yang didakwanya tidak ditangani SPRM dengan betul, Lim menyebut keengganan badan tersebut menjalankan siasatan terhadap kartel pegawai polis yang korup, termasuk seorang bekas ketua polis negara (KPN), yang didakwa menerima suapan daripada sindiket jenayah.

SPRM telah menyatakan sebelum ini bahawa kes itu dianggap masalah dalaman polis, tetapi Lim tidak menerima alasan tersebut.

“Rasuah tidak boleh diselesaikan secara dalaman tetapi diputuskan secara terbuka di mahkamah,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Kata Lim lagi, kontrak kerajaan persekutuan telah diberikan kepada pemegang jawatan PPBM dalam sebuah mesyuarat politik parti.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dirakam secara audio menawarkan kedudukan politik dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai balasan bagi sokongan politik,” tambah beliau.

“Sebagai balasan undi dalam pemilihan pemuda PPBM, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Wan Ahmad Kamal memanfaatkan jawatan kerajaannya untuk mengeluarkan surat sokongan.”

Lim juga mendakwa SPRM belum mengambil tindakan walaupun dengan permintaan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara setelah bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai didapati memberikan kontrak bernilai RM149.5 juta secara langsung kepada sebuah syarikat yang sebahagiannya dimiliki oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Wee Jeck Seng.

“Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International menurun dari tangga 51 pada 2019 kepada 57 pada 2020,” kata Lim.

Tambah Lim, sekiranya SPRM gagal menjalankan tugas mereka secara profesional dan bertanggungjawab, kedudukan negara dalam CPI akan terus merosot.

Antara kes lain yang disenaraikan Lim adalah:

  1. Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, yang berpaling tadah daripada PKR untuk menyokong perdana menteri, dilaporkan mengakui bahawa Muhyiddin telah menjanjikan kepadanya kedudukan rasmi yang akan memberinya landasan untuk membangunkan semula ekonomi negara.
  2.  
  3. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun mampu menyelesaikan tuntutan muflis bagi hutang berjumlah RM1.3 juta, ketika beliau hanya mengisytiharkan aset sebanyak RM72,000 pada November 2019, dengan pendapatan bulanan RM34,000.
  4.  
  5. Dakwaan bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal bahawa pemimpin kerajaan negeri Sabah sebelum ini telah memberikan 700,000 ekar tanah hutan simpan di bawah Yayasan Sabah kepada “kawan dan keluarga”.
  6.  
  7. Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz telah menyalahgunakan kuasanya dengan menulis surat sokongan agar anaknya dilantik dalam Lembaga Pengarah Pharmaniaga, sebuah syarikat di bawah pengawasan dan kuasa Kementerian Pertahanan, dan tindakan beliau telah dipersetujui Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
  8.  
  9. Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menulis surat sokongan bagi tawaran kontraktor untuk dianugerahkan projek lebuh raya besar di Kelantan melalui rundingan langsung.

Tiada ulasan: