Selasa, 13 April 2021

6 pelajar positif Covid-19, sekolah di PJ tutup

Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berkata kes pertama dilaporkan ke 
sekolah itu pada 7 April.

PETALING JAYA: SJK (C) Puay Chai 2, sebuah sekolah rendah di Bandar Utama ditutup buat sementara waktu berikutan jangkitan Covid-19 yang membabitkan pelajar dan guru.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak pengurusan sekolah berkata sesi petang akan mula ditutup hari ini diikuti penutupan sepenuhnya sekolah (sesi pagi dan petang) mulai esok (14 April).

Tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan kemudian oleh pejabat pendidikan daerah, tambah kenyataan itu.

Buat masa ini, pelajaran akan diteruskan melalui pembelajaran dalam talian di rumah.

Awal hari ini, Malay Mail melaporkan enam pelajar disahkan positif virus tersebut dan 11 guru telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Pelajar yang dijangkiti adalah murid Tahun Dua, Tahun Empat dan Tahun Lima.

Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah berkata kes pertama dilaporkan ke sekolah itu pada 7 April. Kes kedua dilaporkan pada 9 April.

“Malam tadi, dua lagi kes dilaporkan dan kedua-duanya dari keluarga yang sama,” katanya.

Terdahulu, pada 10 Mac, hanya seminggu selepas sekolah dibuka semula, empat murid SK Subang Jaya didapati positif Covid-19.

Tiada ulasan: