Sabtu, 3 April 2021

Pinda undang-undang Undi18, Agong boleh lakukannya sekarang, kata peguam

Undi18 says it wants to hold the government accountable to its promise.

PETALING JAYA: Seorang peguam merujuk kepada perintah darurat yang terlaksana kini bagi menolak dakwaan Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim bahawa inisiatif Undi18 tidak mungkin dibuat pada masa ini.

Pengerusi bersama jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam Andrew Khoo memberitahu FMT bahawa perintah darurat memudahkan lagi pindaan undang-undang.

Andrew Khoo.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong secara serta-merta boleh meminda mana-mana undang-undang yang perlu bagi membolehkan individu berusia 18 tahun dan ke atas menjadi pengundi.

Baru-baru ini Rais berkata, inisiatif Undi18 sia-sia kerana undang-undang pilihan raya belum dipinda bagi membolehkan individu berusia 18 tahun mengundi.

Khoo berkata, undang-undang seperti Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 sepatutnya dipinda selepas perlembagaan persekutuan dipinda pada 2019 bagi membenarkan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi.

“Namun oleh sebab kita sekarang berada di bawah perintah darurat, pindaan perlu boleh dibuat secara serta-merta atas kuasa Agong.

Lim Wei Jiet.

“Jadi tak perlu beri alasan atas kelewatan. Sebaliknya kita perlu menyegerakan perkara itu.”

Peguam Lim Wei Jiet berkata, dakwaan Rais tidak berasas dari segi undang-undang kerana tiada peruntukan yang menghendaki sesuatu pindaan perlembagaan perlu diikuti dengan pindaan undang-undang berkaitan.

“Malah pindaan undang-undang itu seharusnya dikuatkuasakan terlebih dahulu bagi membuka jalan kepada pindaan dalam undang-undang statut,” katanya.

“Sangat mengecewakan apabila Yang di-Pertua Dewan Negara dan bekas pengamal undang-undang membuat kenyataan tanpa asas undang-undang begitu. Ia hanyalah penyataan pendirian politik.

“Paling tidak, ia menunjukkan bahawa PPBM dan Perikatan Nasional (PN) tidak ikhlas dalam pelaksanaan Undi18 dan terpaksa merekayasa alasan bagi mewajarkan penangguhannya.”

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, keengganan kerajaan membenarkan rakyat berumur 18 tahun mengundi adalah kerana ia bimbang golongan tersebut tidak mengundinya dalam pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata, pemimpin yang melompat untuk menyertai PN lupa bahawa mereka menyokong inisiatif Undi18 semasa berada dalam Pakatan Harapan (PH).

“Langkah kebelakang berhubung Undi18 adalah tamparan kepada demokrasi berparlimen dan mengukuhkan tanggapan bahawa ahli politik tidak boleh dipercayai,” katanya.

“Pindaan yang perlu boleh dibuat dua tahun lepas. Hari ini kita lihat pusingan U melibatkan Umno, PPBM dan PAS kerana menjangka orang muda tidak menerima mereka.”

Pada Jumaat, aktivis orang muda memfailkan semakan terhadap keengganan kerajaan membenarkan Undi18 dengan berkata, ia sama seperti sekatan ke atas pengundi.

Dalam kenyataan menangguhkan Undi18 sehingga September tahun depan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, pandemik Covid-19 mengganggu persiapannya.

Rang undang-undang Undi18 diluluskan sebulat suara di Parlimen pada 2019.

Tahun lepas, Menteri di-Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan memberitahu Parlimen bahawa pendaftaran pengundi berusia 18 tahun dan pendaftaran automatik pemilih akan bermula Julai tahun ini.

Beliau berkata, proses itu akan mengambil masa dua tahun bermula 25 Julai 2019, iaitu tarikh Dewan Negara meluluskan pindaan perlembagaan bagi menurunkan umur pengundi, umur calon pilihan raya dan pendaftaran automatik pemilih.

Pindaan ini mendapat sokongan bipartisan di kedua-dua dewan Parlimen.

Kerajaan berkata, langkah itu akan melibatkan lebih 7.8 juta pengundi baharu dalam pilihan raya umum ke-15 pada 2023.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi mencecah 22.7 juta orang, berbanding 14.9 juta pada pilihan raya umum ke-14.

Tiada ulasan: