Sabtu, 3 April 2021

Ambil iktibar Tahun Baharu Cina, elak perhimpunan besar Aidilfitri, kata pakar

Lonjakan kes jangkitan di Sarawak pada Februari dipercayai akibat 
perhimpunan sosial di bistro, restoran dan kediaman peribadi ketika 
Tahun Baharu Cina. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar kesihatan menggesa pihak berkuasa berkaitan memperketat penguatkuasaan ketika sambutan Hari Raya untuk mencegah lonjakan jangkitan Covid-19.

Mereka berkata kita perlu mengambil iktibar dari peningkatan kes di Sarawak sejurus selepas perayaan Tahun Baru Cina pada Februari.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, risiko orang ramai mengambil sikap sambil lewa ketika perhimpunan perayaan masih membimbangkan.

Sebelum Tahun Baharu Cina, Sarawak melaporkan kira-kira 160 kes sehari, namun dua minggu kemudian melonjak kepada 353 pada 25 Feb, iaitu selepas sambutan perayaan berkenaan pada 12 dan 13 Feb.

Penguatkuasaan juga lebih sukar ketika tempoh perayaan. Sebarang keredaan dalam sekatan perlu dikawal dengan SOP sewajarnya,” kata Subramaniam kepada FMT.

Subramaniam berkata, sebarang keputusan untuk mengurangkan sekatan juga mesti disokong data saintifik.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye bersetuju perhimpunan besar-besaran patut dielakkan.

“Sebarang perhimpunan di mana pemakaian pelitup muka adalah tidak praktikal, contohnya pada acara melibatkan makan tengah hari atau malam, pada peringkat ini masih tidak dinasihatkan. Dari segi isi rumah, perhimpunan tidak patut melebihi 20 orang pada satu-satu masa untuk memastikan penjarakan fizikal.

“Orang awam juga patut dinasihatkan mengehadkan lawatan sosial kepada anggota keluarga dan rakan sehingga kurang daripada 30 minit,” cadangnya.

Pada Februari, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Dr Sim Kui Hian berkata pengesanan kontak di negeri itu menunjukkan bahawa perhimpunan sosial di bistro, restoran dan kediaman persendirian sempena Tahun Baharu Cina sebagai faktor utama kes baharu yang dilaporkan, terutama di daerah Kuching dan Samarahan.

Sehingga 30 Mac, sejumlah 33 kluster Covid-19 masih aktif di Sarawak dengan lapan daripadanya terus merekodkan kes baharu, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.

Bercakap kepada FMT, Lee menggesa kerajaan memikirkan SOP lebih konsisten, praktikal dan jelas sempena Aidilfitri untuk mengelak sebarang kekeliruan.

Bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan lain sempena Aidilfitri, Lee berkata jumlah jemaah di masjid patut dihadkan untuk memastikan penjarakan sosial dan mengelak acara ‘super spreader’.

Beliau bagaimanapun tidak risaukan bazar Ramadan dan Hari Raya.

“Risikonya agak rendah kerana bazar diadakan di tempat terbuka dan pelawat lazimnya tidak menghabiskan masa lama di situ,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan untuk membuka sempadan negeri perlu difikirkan secara mendalam kerana jumlah kes akibat kluster golongan yang pulang ke kampung halaman meningkat ketika ia dibenarkan sebelum ini.

“Sekatan pergerakan perlu di tempat yang jangkitan komuniti adalah tinggi. Penduduk di kawasan di mana jangkitan komuniti adalah tinggi tidak patut dibenarkan mengembara secara bebas.”

Sementara itu, Subramaniam berkata kerajaan tidak patut menjadi satu-satunya pihak yang bertanggungjawab memastikan kadar jangkitan Covid-19 kekal rendah.

“Orang ramai mesti tahu mereka masih memainkan peranan penting untuk memastikan jangkitan tidak tinggi dan melandaikan keluk.

“Jika perjalanan antara negeri dibenarkan dan orang ramai boleh pulang ke kampung halaman, mereka mesti bersikap bertanggungjawab dalam saling melindungi diri mereka terutama warga emas dan golongan berisiko tinggi. Satu-satunya cara untuk memastikannya adalah dengan mematuhi SOP.”

 

Tiada ulasan: