PETALING JAYA: Seorang penghantar makanan berusia 20 tahun maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat di Taman Len Seng, Cheras petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 4.19 petang.
Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras dikejarkan ke tempat kejadian, tetapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia.
“Sebaik tiba di lokasi pada 4.28 petang, kita dapati mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Pada masa sama, pasukan bomba turut memotong dan mengalihkan pokok tumbang, seterusnya memastikan kawasan itu dalam keadaan selamat,” katanya dipetik Utusan.
Terdahulu, video dan gambar orang ramai membawa mangsa ke arah Petronas dalam keadaan hujan lebat sebelum dibaringkan di perkarangan stesen minyak itu tular di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan