Sabtu, 10 April 2021

Penduduk kecewa tanah JAIS diwarta untuk surau jadi tempat jual kereta

MGF09042021_PANDANINDAH_05
Wakil penduduk, Mohd Ibrahim menunjukkan gambaran kawasan tuntutan tanah JAIS di Pandan Indah, Selangor. Foto FIKRI YAZID

AMPANG – Satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat selepas tindakan segelintir pihak didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menjadikan tapak tanah yang digazetkan untuk pembinaan surau bagi kegunaan lain.

Tanah yang terletak di Jalan 6/1 Pandan Indah, dekat sini, dimiliki oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan digazetkan untuk pembinaan surau Al Ihsan sejak 2017.

Namun disebabkan kekangan kewangan, surau itu tidak dapat dibangunkan.

Bagaimanapun tanah itu kini digunakan pula oleh pihak lain dengan menyewanya kepada syarikat jual kereta terpakai import manakala sebahagian daripadanya pula dijadikan sebagai tempat tanaman.

Wakil penduduk setempat, Mejar Mohd Ibrahim Shika Daud melahirkan rasa kecewa kerana sejak tiga tahun kebelakangan ini pelbagai usaha telah dilakukan untuk membangunkan surau tersebut namun tidak berjaya.

WhatsApp-Image-2021-04-09-at-19

“Kita tidak tahan dengan keadaan ini, sudah banyak usaha dilakukan oleh kami untuk bangunkan surau Al Ihsan namun tidak berjaya.

”Oleh yang demikian saya bertindak membuat laporan kepada SPRM supaya disiasat jika ada sebarang unsur penyelewengan dalam perkara ini.

“JAIS telah mengazetkan tanah ini sebagai tapak surau sejak tahun 2017, kita juga dapat sokongan daripada Jabatan Islam Hulu Langat bagi tujuan ini namun kita tidak dapat apa-apa maklum balas kelulusan.

“Sebanyak empat pertemuan telah diadakan namun tidak ada apa-apa jalan penyelesaian yang membolehkan kami bina surau, tanah sudah digazetkan untuk tujuan pembinaan tapi tidak dapat kelulusan mendirikannya.

“Kami juga ada memohon kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membenarkan kami menggunakan dewan dan kawasan di belakangnya sebagai surau namun MPAJ tidak beri kebenaran,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, MPAJ memaklumkan bahawa dewan itu untuk kegunaan orang ramai.

Namun, katanya, keadaan dewan itu yang  semak dan tidak digunakan untuk orang ramai pun  sebaliknya untuk tujuan aktiviti  pertanian.

Ketika sedang bercakap dengan MalaysiaGazette, tiba-tiba seorang pegawai MPAJ hadir bertanyakan kepada Mohd Ibrahim apakah ‘masalah’ yang berlaku sehingga mencetuskan sedikit ketegangan sebelum pegawai itu berlalu pergi.

MGF09042021_PANDANINDAH_08
Pengerusi Penggerak Pandan, Zakaria Rahim bercakap ketika 
di temubual oleh media berkenaan tuntutan tanah JAIS 
di Pandan Indah, Selangor. Foto FIKRI YAZID

Dalam pada itu, Pengerusi Penggerak Pandan, Zakaria Rahim turut menggesa pihak berwajib untuk segera menyiasat seandainya wujud salah guna kuasa dan tanah di kawasan tersebut.

“Kita mohon pihak berkuasa SPRM buat siasatan menyeluruh ke atas perkara ini agar semua pihak mendapat hak masing-masing, kita tidak berminat untuk ketahui siapakah pihak-pihak yang terlibat memberi tapak ini kepada yang lain-lain.

“Kita cuma mahu tindakan segera supaya masyarakat menghormati jabatan-jabatan tertentu dan tidak menggunakan harta-harta kerajaan sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Zakaria berkata, penduduk Islam di kawasan itu memohon belas MPAJ untuk memberi kelonggaran kepada kepada mereka menggunakan dewan untuk dijadikan surau pada bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Kami harap ada belas kasihan dari MPAJ.

”Dulu ada masalah kewangan dan jumlah penduduk tidak banyak tetapi kini sudah ramai dan memang ada keperluan untuk surau ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: