Sabtu, 10 April 2021

Derma darah lebih 50 kali diutamakan dapat vaksin

Oleh OMAR ZIN
ADHAM BABA

KUALA LUMPUR: Penderma darah yang sudah menderma sebanyak lebih 50 kali akan ‘diletakkan dalam senarai utama’ menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka yang layak akan mendapat suntikan itu pada fasa kedua dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama golongan berusia 60 tahun ke atas dan golongan yang mempunyai komorbiditi.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan membuat keputusan itu sebagai insentif kepada penderma darah yang menyumbang kepada negara terutamanya kepada mereka yang memerlukan darah.

“Kita menerima permintaan, jadi untuk penderma dari seluruh negara akan kita beri keutamaan untuk fasa kedua vaksin Covid-19. Ini merupakan insentif kepada penderma darah.

“Untuk kategori penderma darah yang layak menerima vaksin lebih awal adalah penderma yang lebih 50 kali, jadi kita akan buat keputusan supaya mereka tampil untuk diberikan vaksinasi lebih awal dalam fasa kedua,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Darah Negara di sini hari ini.

Katanya, pihak kementerian akan mengenal pasti penderma darah yang layak menerima vaksin awal menerusi data mereka di Pusat Darah Negara.UTUSAN

Tiada ulasan: