Ahad, 11 April 2021

Pembatalan bazar Ramadan demi keselamatan rakyat Kelantan

PENINGKATAN mendadak kes positif Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi membuatkan Kerajaan Negeri Kelantan terpaksa mengambil keputusan membatalkan kesemua bazar Ramadan di negeri berkenaan tahun ini.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin berkata, ada sebahagian hospital bagi menempatkan pesakit Covid-19 juga telah mencecah kapasiti 100 peratus sekali gus menunjukkan keadaan kritikal di Kelantan.

Beliau berkata, keputusan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan dan program Madinah Ramadan yang sebelum ini dirangka bagi tujuan solat tarawih berjemaah, berbuka puasa dan bersahur serta majlis ilmu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pagi tadi.

Namun begitu, Izani memaklumkan kerajaan negeri masih membenarkan operasi restoran dan jualan di rumah serta tepi jalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).-

“Kita lihat kes positif Covid-19 di Kelantan telah naik mendadak dengan dalam tempoh tiga hari ini, kes melebihi 400 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) agak tinggi iaitu 1.12.

“Justeru, dengan penuh dukacita saya memohon maaf bahawa kita terpaksa batalkan operasi bazar Ramadan untuk tahun ini. Keputusan yang dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan

Sebelum itu, Izani dalam catatan di Facebook mengumumkan Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk membatalkan kesemua bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri itu.

Katanya, program Madinah Ramadan pula akan ditukar menjadi pusat rawatan dan kuarantin Covid-19 (PKRC).

Selasa lalu, Ahmad dilaporkan berkata operasi bazar Ramadan di negeri berkenaan dibenarkan dengan jumlah kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian mengikut lokasi.

Operasi bazar Ramadan juga perlu mengikut SOP ditetapkan MKN dengan penjual hanya dibenar melayan dua pelanggan pada satu-satu masa.

Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti ibadah di masjid sepanjang bulan Ramadan, Izani berkata keputusan itu terpulang kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Kerajaan negeri cuma umumkan pembatalan bazar di sepanjang bulan Ramadan. Apa pun program seperti tarawih di masjid itu di bawah bidang kuasa MAIK, jadi terserah kepada mereka,” jelas beliau.

Mengenai kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu, Izani turut menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak MKN.

Katanya, buat masa ini segala laporan semasa mengenai kes jangkitan Covid-19 di Kelantan sentiasa dihantar kepada MKN.

“Jika MKN meneliti keadaan semasa dan memutuskan untuk melaksanakan PKP, terpulang kepada MKN. MKN juga akan mengambil kira pelbagai perkara seperti kes naik mendadak dan fasiliti tidak mencukupi.

“Saya juga harap rakyat mengambil maklum mengenai dengan keadaan semasa ini sekali gus menghadkan pergerakan serta menjaga SOP sebaik mungkin,” katanya.

Tiada ulasan: