Selasa, 6 April 2021

Pekerja migran bimbang diusir jika cuba dapat dokumen sah

Sebahagian pekerja asing sedar mereka perlu berdepan dengan keadaan 
pekerjaan dan kehidupan yang menyedihkan selepas disahkan.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan aktivis berkata takut dihantar pulang menjadi alasan utama mengapa program mengesahkan pekerja asing tanpa dokumen di negara ini kurang sambutan.

Mengulas anggaran Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa hanya sekitar 2% pekerja berdaftar untuk program itu, Inisiatif Utara-Selatan berkata masalahnya adalah warga asing diharap akan menghadirkan diri ke Jabatan Imigresen untuk pendaftaran selepas menemui prospek pekerjaan.

Pengarah eksekutifnya, Adrian Pereira, berkata ini bermaksud mereka akan berdepan kemungkinan ditangkap dan ditahan kerana tidak mempunyai dokumen atau terlalu lama tinggal di negara ini.

“Kerajaan sudah menyingkirkan fungsi orang tengah dalam proses tersebut dengan meminta pekerja sendiri tampil menemui mereka. Mengetahui wujudnya isu renyah dan individu yang korup, mereka tidak cukup yakin untuk tampil mendaftar.

Andrian Pereira.

“Sekurang-kurangnya, apabila ejen dibenarkan mendaftar atas nama orang lain, risikonya lebih rendah,” katanya.

Tiga puluh ribu pekerja asing mendaftar untuk “program rekalibrasi” jabatan itu sejak ia dilancarkan pada 16 Nov lalu dan MEF berkata angka tersebut hanya mewakili lebih segelintir dari 2% berbanding anggaran jumlah pekerja migran.

Pereira berkata kebanyakan pekerja asing sedar mereka perlu berdepan keadaan kerja yang menyedihkan, dipaksa untuk tinggal di tempat tinggal yang tidak selesa dan menerima gaji rendah selepas mendapat dokumen sah.

M Kula Segaran.

“Kita sudah wujudkan persekitaran buruh buatan dan kita sendiri yang sepatutnya dipersalahkan,” katanya.

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran sebelum ini berkata prosedur birokrasi perlu dipersalahkan kerana keengganan majikan atau pekerja untuk mendaftar ke program ini.

Katanya, sistem dalam talian sukar digunakan dan kebanyakan pemohon diminta pergi ke Putrajaya untuk menyelesaikan pendaftaran mereka.

Beliau mencadangkan agar proses itu diselarikan kepada pejabat buruh daerah dan negeri.

Kula juga berkata semua perkara yang berkaitan dengan pengambilan pekerja asing perlu ditangani oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) saja. Pada masa ini, beberapa fungsi sedang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Antara 64 negara dengan sistem buruh yang sama, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai urusan pengambilan pekerja asing yang dipantau oleh KDN dan bukannya bawah kuasa KSM.

“KDN sepatutnya fokus kepada (isu) keselamatan. Hal membabitkan pekerja sepatutnya melibatkan sumber manusia. Bila isu ini pun kita tak dapat selesai, bagaimana kita mahu maju ke depan?” katanya.

Jimmy Ong, yang mempengerusikan Persekutuan Pekilang Malaysia cawangan Pulau Pinang, berkata banyak pekerja asing tidak dapat disahkan kerana mereka gagal dalam ujian kesihatan.

Katanya, majikan enggan menggaji pekerja asing yang telah disahkan kerana takut mereka kemudian akan “melarikan diri”.

Tetapi, katanya, akan selalu ada permintaan untuk pekerja asing tanpa mengira dasar-dasar yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata ketika kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing pada Mac tahun lalu, industri masih mampu bertahan memandangkan penjimatan dalam pengeluaran kerana pandemik Covid-19.

“Ketika ekonomi mulai naik semula, permintaan untuk pekerja akan meningkat. Tiada pekerja tempatan yang cukup untuk memenuhi permintaan pekerja asing.

“Pekerja asing mampu memberikan produktiviti yang stabil dan kecekapan dalam kontrak tempoh bekerja, manakala pekerja tempatan cenderung untuk lari apabila permintaan lebih tinggi daripada penawaran.”

Menurut Laporan Sistem Insurans Pekerjaan Interim 2020 Perkeso, terdapat 1.38 juta pekerja asing pada Julai 2020.

MEF berkata kerajaan perlu fokus untuk memastikan peraturan pekerja asing yang efisien dan bukannya mengenakan sekatan yang sukar untuk dikuatkuasakan.

Tiada ulasan: