Sabtu, 10 April 2021

Pasangan ditemui mati di rumah sewa baru didiami 3 hari

FMT Reporters
Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu tengah hari tadi, selepas rakan 
mereka gagal menghubungi pasangan suami isteri itu.

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditemui mati di sebuah rumah tiga tingkat yang disewa mereka di Jalan Medang Serai, Bangsar di sini pagi tadi, tiga hari selepas mereka berpindah masuk.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, pasangan itu dipercayai membakar arang dan menutup pintu serta tingkap sebelum tidur. Pegawai perubatan mengesahkan mereka meninggal dunia sekitar 6 hingga 7 pagi kerana sesak nafas.

Polis turut menemui surat daripada pasangan tersebut, yang berkahwin sejak 2018, kepada keluarga mereka.

Menurut seorang saksi yang merupakan kenalan rapat mangsa, pasangan ini tidak pernah berkongsi apa-apa masalah yang mereka hadapi, dan pasangan ini juga tidak mempunyai musuh.

“Kedua-dua mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan.

Anuar berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu tengah hari tadi, selepas rakan mereka gagal menghubungi pasangan itu beberapa kali.

Sekitar 11 pagi, rakan itu yang memasuki rumah berkenaan setelah mendapat kunci rumah daripada pemilik, menjumpai pasangan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur.

Pasangan tersebut menyewa rumah berkenaan pada 6 April lalu dalam talian.

Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders menerusi talian 03-79568145/8144 pada bila-bila masa, atau melalui e-mel

Tiada ulasan: