Sabtu, 10 April 2021

Ambulans bawa pesakit Covid-19 terbalik di Alor Setar

Keadaan ambulans selepas terbalik di persimpangan lampu isyarat di Jalan 
Langgar, dekat Plaza Tol Alor Setar Utara petang tadi. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang membawa seorang pesakit Covid-19 terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, petang tadi.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ambulans itu yang turut dinaiki empat petugas KKM dalam perjalanan membawa pesakit dari Baling ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi menerima rawatan.

“Ambulans dinaiki seorang doktor dan seorang jururawat dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu dan pembantu perubatan mengalami kecederaan ringan. Pesakit wanita itu juga mengalami kecederaan ringan.

“Dua mangsa menaiki sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu turut cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan pada 5.55 petang tadi.

“Anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar tiba di lokasi dua minit kemudian. Terdapat lima mangsa yang menaiki ambulans berkenaan.

“Terdapat dua mangsa di dalam kereta jenis Proton Exora. Mangsa lelaki berusia 40-an mengalami cedera ringan di dada dan mangsa wanita berusia 30-an cedera ringan di bahu.”

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Tiada ulasan: