KEJADIAN dua pengawal peribadi dibelasah majikan hanya kerana berpuasa sememangnya mendapat perhatian meluas masyarakat dan terbaharu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslims (MRM) turut menghulurkan bantuan dengan menawarkan khidmat guaman percuma.
Pada masa sama, Pengasas MRM, Firdaus Wong Wai Hung menerusi akaun Twitter miliknya turut menawarkan peluang pekerjaan kepada kedua-dua mangsa.
“Kepada dua saudaraku yang dipukul dan dimaki-hamun oleh majikan kerana berpuasa, hubungi kami di 01110500414. Kami di MRM tawarkan bantuan guaman percuma.
“Insya-Allah jikalau sesuai, mungkin boleh juga jadi bodyguard (pengawal peribadi) di MRM. Kami bantu mana yang kami mampu. Tolong tag mereka,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.
Semalam, berita mengenai dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa tular dalam media sosial.
Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.
Susulan itu, polis turut menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan itu.
Sementara itu, Firdaus dalam hantaran di Facebook turut berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas individu dan kumpulan yang disifatkannya bersikap Islamofobia agar keharmonian negara terjaga dan tidak dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan mereka.
Beliau malah membangkitkan persoalan mengapa masih ada lagi individu yang bersikap Islamofobia setelah 63 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan sedangkan selama ini hidup aman dan menjadi kaya sambil dikelilingi majoriti orang Islam.
Firdaus turut bersetuju dengan kenyataan polis bahawa isu tersebut bukan perkauman walaupun kerana terdapat juga bangsa lain yang beragama Islam dan orang Melayu sendiri yang murtad.
“Saya tidak terkejut dengan kata-kata yang diungkapkan kerana saya sendiri pernah melaluinya dan ramai muallaf juga menceritakan kepada saya pengalaman mereka berdepan majikan yang Islamofobia.
“Saya percaya ramai lagi yang pernah melalui situasi seperti ini tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu menanggung risiko dibuang kerja atau takut akan keselamatan diri dan ahli keluarga mereka,” jelas beliau dalam hantaran itu.
Firdaus turut membangkitkan persoalan terhadap pejuang hak asasi manusia yang masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.
“Sesuatu yang menarik perhatian adalah sehingga kini (waktu hantaran ini dibuat), saya masih belum nampak sebarang respons daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) atau pejuang hak asasi lain.
“Mereka laju bersuara apabila terhadap orang Islam tetapi berdiam diri atau lambat memberikan respons apabila melibatkan Muslim dan Islam. Apakah hak asasi manusia itu tidak terpakai untuk Muslim?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan